fbpx

95 peratus kawasan terjejas telah menerima bekalan air – Air Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 95 peratus daripada 274 kawasan di empat buah wilayah yang mengalami gangguan air tidak berjadual sejak 4 Oktober lalu telah mula menerima bekalan hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) Elina Baseri berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, hanya hanya 15 lagi kawasan masih mengalami gangguan bekalan dan 259 kawasan telah pulih sepenuhnya.

Katanya, gangguan bekalan air di wilayah Sepang dan Putrajaya telah pulih sepenuhnya.

“Wilayah Petaling mencatatkan 90 peratus pemulihan, Hulu Langat (95%) dan Kuala Langat (86%).

“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan yang masih lagi terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Elina berkata, pengguna dinasihatkan untuk merujuk aplikasi Air Selangor serta semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com untuk mendapatkan maklumat sahih berhubung info terkini bekalan air.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji-loji ini.

Ekoran henti tugas itu, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, seramai 309,605 akaun pengguna di 274 kawasan akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan empat wilayah iaitu wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI