fbpx

Tindakan tegas jika penjawat awam miliki kenderaan klon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf (dua kiri) memeriksa sebuah kereta klon pada Lelongan Awam di JPJ Kelantan .

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Penjawat awam diingatkan supaya tidak sama sekali terlibat dalam pembelian atau menggunakan kenderaan klon bagi mengelak dikenakan tindakan tatatertib.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, tindakan itu hanya akan diambil oleh pihak majikan tempat penjawat awam terbabit bekerja.

“Jika kita dapat mengesan penjawat awam memiliki dan menggunakan kenderaan klon, kita akan mengeluarkan saman. Sekiranya didapati bersalah, tindakan akan dilakukan oleh majikan masing-masing.

“Pada masa sama, pihak majikan boleh mengenakan tindakan tatatertib terhadap penjawat awam,” katanya selepas Majlis Lelongan Awam Kenderaan Sita JPJ Kelantan Bilangan 1 Tahun 2020 di Pejabat JPJ di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 47 kereta klon yang disita sejak sembilan tahun lalu melibatkan seramai 129 orang pembida dengan kutipan RM837,000 dan bidaan tertinggi adalah kereta jenis Subaru Impreza bernilai RM41,000.

Mengulas lanjut, menurut Hanif Yusabra, sekiranya didapati bersalah menggunakan kenderaan klon, individu itu boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara selama lima tahun berdasarkan Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, bagaimanapun, setakat ini tiada kes melibatkan penjawat awam yang memiliki dan menggunakan kereta klon dilaporkan.

Menurutnya, kereta klon itu boleh memberi implikasi kepada pemandu atau penumpang sekiranya berlaku kemalangan kenderaan itu kerana tidak dilindungi insurans.

“Tidak dinafikan, kes melibatkan kenderaan klon kebanyakan digunakan golongan yang berusia antara 35 hingga 45 tahun yang membeli kereta menerusi laman web dari Singapura dengan harga RM4,500.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 204 kereta klon disita sejak 2011 dan kita telah menahan tujuh individu manakala 21 kes lagi telah diselesaikan di mahkamah yang melibatkan denda sebanyak RM379,300,” katanya._K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI