SETIAP manusia akan melalui fasa perubahan dalam kehidupan Bahkan, kehidupan manusia saling tidak tumpah seperti putaran roda. Ada ketika berada di bawah dan sebaliknya. Itulah realiti yang harus ditelan.
Sama juga halnya dengan penyanyi popular, Datin Alyah yang mengakui perjalanan hidupnya sama seperti wanita lain, ada pasang surutnya.
Seiring dengan pertambahan usia yang bakal menginjak ke 40 pada tahun depan, dia perlahan-lahan mencari hala tuju, memaknakan lagi perjalanan hidupnya.
Dalami ilmu agama
Tidak lokek untuk bercerita, kata Alyah sejak perlahan-lahan mendalami ilmu agama tiga tahun lalu, dia juga mula mengenal erti ketenangan.
“Jiwa saya semakin damai selepas mendekatkan diri dengan agama. Semua itu saya pelajari dengan menonton banyak ceramah agama online oleh beberapa ustaz terkenal tanah air dan luar negara.
“Kata-kata daripada orang berilmu sangat bermanfaat. Saya juga banyak mendengar ceramah dan motivasi daripada Ustaz Khalid Basalamah dari Indonesia serta cuba praktikkan apa yang dikongsikannya dalam kehidupan seharian.

“Saya semakin sedar bahawa kebahagian dan ketenangan dapat dikecapi sekiranya semua tindakan kita berbalik kepada agama. Kita tak ‘maksum’, seboleh-bolehnya kita lakukan apa yang dituntut agama supaya tidak tersasar,” ujarnya.
Tambah pelantun lagu Kisah Hati itu, selepas menjaga pemahaman agama dan amalannya, dia mengakui hidupnya kembali bahagia dan ceria berbanding sebelum ini.
“Saya jaga solat dan banyak beramal. Alhamdulillah, kini rasa ceria itu terbit semula sama seperti ketika zaman muda dahulu.
“Allah SWT maha penyayang. Dia akan berikan nikmat dan rahmat jika kita terus menghargai dan menghormati agamanya,” ujar Alyah.
Tidak menafikan banyak melakukan pelbagai khilaf ketika zaman mudanya, Alyah menganggap semua pengalaman silam sebagai pengajaran dalam hidup.
Rumah tangga
Ditanya mengenai kehidupan rumah tangga bersama suami tercinta, Datuk Ramli MS, Alyah tidak menafikan hubungan mereka juga ada turun naik.
“Sama seperti pasangan lain, rumah tangga kami juga ada turun naiknya. Kalau dahulu, apa-apa yang tak kena mesti saya akan muat naik dalam media sosial terutama untuk melepaskan rasa marah.

“Tetapi jika difikirkan semula, semua tindakan itu tidak memberi sebarang manfaat atau kelebihan. Bila nampak orang lain buat tindakan sama, saya jadi takut.
“Selepas itu saya terfikir, mungkin dahulu ketika saya selalu buat perkara sama, mesti ramai yang takut hendak berkawan dengan saya,” ujar penyanyi berusia 39 tahun itu.
Alyah turut mengakui rumah tangga dibinanya pernah berdepan gelora besar apabila ada pihak yang ingin cuba meruntuhkan kebahagiaannya.
“Pernah satu ketika, saya pernah terfikir bahawa jodoh bersama suami sudah berakhir.
“Saya tahu yang ada orang luar sentiasa menunggu waktu bila rumah tangga kami akan goyah.
“Tetapi, saat rumah tangga diuji, kami berbalik kepada agama. Tidak hanya seorang, malah suami juga sama-sama mendalami ilmu agama bagi mengembalikan keharmonian hubungan suami isteri,” tuturnya.
Sejak mendirikan rumah tangga pada tahun 2013, Alyah tidak pernah terlepas daripada diajukan persoalan mengenai cahaya mata.

Cahaya mata
“Bohong jika saya tidak teringin untuk memiliki zuriat sendiri, namun semuanya terpaksa ditangguh kerana jadual kerja yang sangat padat.
“Jadi, saya perlu menyusun jadual sebaik mungkin jika hendak mulakan rawatan persenyawaan In vitro fertilization (IVF) dan perlukan masa rehat yang panjang.
“Selagi saya perlu beri komitmen terhadap nyanyian, mungkin sukar untuk saya jalankan rawatan berkenaan dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.
Bagi merealisasikan impian memiliki zuriat, Alyah nekad akan mengurangkan aktiviti nyanyian dan memberi lebih fokus terhadap keluarga.
“Saya akan kurangkan aktiviti seni, tambahan pula keghairahan untuk beraksi di atas pentas juga sudah pudar. Apa pun, doakan urusan untuk mendapatkan anak termakbul dan dipermudahkan,” katanya ketika ditemui selepas dilantik sebagai duta produk penjagaan kecantikan, Zafesha di Putrajaya, baru-baru ini.
Jika segala perancangan berjalan lancar, Alyah juga herhasrat untuk berhenti menyanyi selepas berusia 45 tahun.















