fbpx

Sultan Johor perkenalkan Pingat Jasa Dikenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim berkenan memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang bagi menghargai jasa petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengawal pandemik Covid-19.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang sebagai menghargai pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan di negeri ini.

Sultan Ibrahim bertitah pingat berserta surat akuan akan dikurniakan kepada penerima terdiri daripada pelbagai jabatan serta agensi yang secara langsung terlibat dalam penugasan.

“Dalam menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan di Johor, saya berkenan untuk mengurniakan mereka Pingat Jasa Dikenang.

“Teruskan usaha baik anda semua, dan saya harap rakyat jelata terus memberi kerjasama sebaiknya bagi menghalang virus ini daripada terus menular,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di sini hari ini.

Pada pertemuan itu, Rahim turut mempersembahkan contoh Surat Akuan berkenaan kepada Sultan Ibrahim.

Warna riben pada pingat itu terdiri daripada putih, merah dan biru menandakan bendera Johor.

Manakala di bahagian belakang, terdapat reka bentuk 10 tangan memegang erat di antara satu sama lain menandakan 10 daerah di Johor.

Sultan Ibrahim bertitah pingat berkenaan akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dipilih oleh ketua jabatan atau agensi masing-masing.

“Pingat ini kemudian akan saya sampaikan kepada ketua-ketua jabatan untuk diberikan kepada penerima antaranya Jabatan Kesihatan Johor, polis, tentera, bomba dan lain-lain,” titah baginda.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI