fbpx

Berlepas tanpa lambaian keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN anggota dan pegawai daripada kumpulan pertama MALBATT 850-8 melambai tangan sebelum berlepas ke Lebanon menaiki pesawat Malaysia Airlines di Pengkalan TUDM Subang semalam.

SUBANG – Seramai 216 anggota dan pegawai daripada kumpulan pertama pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-8 (MALBATT 850-8) berlepas ke Lebanon bagi menjayakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara tersebut (UNIFIL) semalam.

Bagaimanapun, majlis pe­lepasan kumpulan tersebut di Pengkalan TUDM Subang tidak seperti biasa apabila ahli keluarga anggota tidak dibenarkan untuk mengiringi mereka kerana tertakluk pada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Kolonel Azudin Hassan selaku Komander yang mengetuai pasukan MALBATT 850-8 berkata, ini merupakan kali pertama pasukan MALBATT dihantar selepas wabak Covid-19 melanda dunia.

“Kami telah berkumpul di perkampungan MALBATT di Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga bulan untuk menjalani latihan-latihan penyesuaian dalam suasana norma baharu.

“Kita menganggap itu sebagai satu cabaran yang tidak boleh dielak, namun dengan SOP yang ada, kita fokus dengan situasi ini.

“Dengan profesionalisme dan disiplin, anggota dapat mengharungi cabaran ini,” kata­nya ketika ditemui pada Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion 850-8 di sini semalam.

Artikel berkaitan : MALBATT 850-8 berlepas ke Labenon

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Azudin memberitahu, pihak­nya sentiasa berhubung dengan MALBATT 7 untuk mendapat perkembangan terkini susulan perkembangan politik ekoran le­tupan di ibu negara Lebanon.

Sementara itu, Affendi berkata, semua anggota dan pegawai yang berlepas atau pulang dari Lebanon akan dikuarantin di perkampungan MALBATT.

“Pasukan MALBATT pertama ini juga tertakluk kepada SOP kekang Covid-19 negara berkenaan sama ada perlu dikuarantin atau sebaliknya,” katanya.

Kumpulan kedua dan ketiga akan bertolak pada 15 Oktober dan 29 Oktober, manakala kumpulan terakhir pada 15 November melibatkan keseluruhan 850 pegawai dan anggota.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI