fbpx

Terengganu hilang ikon infrastruktur dan pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosol.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Pemergian Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, 88, disifatkan kehilangan besar buat rakyat Terengganu kerana menjadi ikon infrastruktur awam dan pendidikan negeri itu selama ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, tokoh tersohor yang memegang jawatan Menteri Besar Terengganu selama 25 tahun itu amat dikenali dengan fokus slogannya, ‘Wawasan Sihat’.

“Ia antaranya merangkumi pembangunan infrastruktur awam iaitu penambahbaikan jalan raya kecil yang bertar di setiap kampung di negeri itu.

“Selain itu, beliau amat menitikberatkan soal pendidikan pelajar dan segala kemajuan sedia ada ketika ini juga adalah hasil sumbangannya,” katanya ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, petang tadi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu, kira-kira pukul 3 petang, selepas disolatkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini.

Wan Mokhtar menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, akibat komplikasi jantung, kira-kira pukul 6.20 pagi tadi.

Dalam pada itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, Allahyarham antara individu penting yang membawa beliau menceburi arena politik tanah air.

“Biarpun saya bukan sesiapa ketika itu, beliau memberi peluang berharga yang tidak mampu saya balas sehingga kini.

“Saya masih ingat pesan beliau bahawa boleh sentiasa mengambil semua peluang yang ada namun jangan sesekali membuat dosa kepada Allah,” katanya.

Tambahnya, selain bersikap rendah diri, Allahyarham disifatkan seorang yang amat mesra dan mudah didekati golongan muda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI