fbpx
SARAVANAN beramah mesra bersama pencari kerja yang hadir ke Karnival Penjanakerjaya Kementerian Sumber Manusia peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung di Seremban hari ini.

Restart bantu bekas pesakit mental kembali bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Psikiatri, enam buah hospital bagi melaksanakan ‘Re-employment support, treatment and rehabilitation team (Restart).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, program Restart yang telah bermula sejak tahun 2017 itu adalah sebagai langkah awal bagi membantu bekas pesakit bermasalah mental yang telah pulih, untuk kembali aktif bekerja.

“Kami berharap program Restart dapat membantu pesakit ini diberikan pelbagai sokongan secara intensif termasuk menerusi portal MYFutureJobs sebelum penghujung tahun ini.

“Kementerian Sumber Manusia telah meletakkan sasaran untuk Perkeso menjalinkan kerjasama dengan semua hospital kerajaan dalam program Restart sebelum akhir tahun ini supaya lebih ramai bekas pesakit mental dapat kembali bekerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Penjanakerjaya Kementerian Sumber Manusia Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tambah Saravanan, setakat ini sebanyak 83 orang peserta program tersebut telah dibantu dan berjaya dalam penempatan pekerjaan dengan kerjasama enam buah hospital.

“Hospital yang terlibat itu ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL); Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah; Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia; Hospital Selayang; Hospital Melaka dan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya.

Sementara itu, menurut Saravanan, sebanyak 12,435 majikan telah membuat pendaftaran bagi insentif pengambilan pekerja sejak PenjanaKerjaya bermula pada 15 Jun 2020 sehingga 17 September lalu.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 7,838 majikan telah membuat pengambilan pekerja. Ini menjadikan sebanyak 37,340 orang pekerja telah diambil bekerja, menerusi insiatif berkenaan.

“Di Negeri Sembilan, sebanyak 382 majikan telah mendaftar dibawah Program Penjanakerjaya dan 262 majikan telah menggaji 1,072 pekerja,” katanya. – K! ONLINE

BERITA BERKAITAN