PENGENALAN MINI Cooper SE model 2020 menjadi testimoni kepada kesungguhan MINI untuk memperkenalkan jentera elektrik di pasaran negara ini.
Sebagaimana yang diperkatakan Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, kenderaan elektrik diminati oleh peminat jenama tersebut ataupun MINIacs di negara ini lebih-lebih lagi setelah mereka memperkenalkan Countryman Plug-In Hybrid pada tahun 2017.
“Pada 2019, MINI menyerahkan hampir 17,000 unit kereta MINI Countryman PHEV di seluruh dunia.
“Kejayaan ini terus mendorong komitmen kami ke arah mobiliti elektro kerana ia membuktikan trend kenderaan elektrik yang sedang meningkat,” katanya.
Justeru, MINI Cooper SE tiga pintu yang merupakan kenderaan elektrik sepenuhnya itu diperkenalkan bagi pasaran tempatan.

Bagi orang ramai yang berminat, harga ditawarkan bagi MINI elektrik itu adalah RM218,380.78.
Begitupun, pada harga yang ditawarkan itu, boleh dikatakan jentera ini bukanlah disasarkan untuk golongan berpendapatan sederhana.
Sudah hampir pasti majoriti pembeli MINI Cooper SE tersebut adalah MINIacs yang disifatkan begitu setia dengan jenama tersebut.
Dalam pada itu, kemasukan MINI Cooper SE ke pasaran Malaysia menjadikan jentera itu pesaing bagi dua lagi kereta elektrik iaitu BMW i3s (RM278,800) dan Nissan Leaf (RM181,263).
MINI elektrik dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa tinggi yang dibangunkan BMW Group. Ia mampu menjana 184 PS kuasa dan tork maksimum 270 Nm. Sebagai sebuah jentera elektrik, sudah tentu ia tidak menghasilkan sebarang karbon.

Ia mampu mencatat kelajuan tertinggi mencecah 150 kilometer sejam (km/j), malah boleh memecut sehingga 100 km/j dalam masa 7.3 saat. Ia mampu dipandu sehingga 270 kilometer sebelum kehabisan bateri.
Menggunakan MINI Wallbox Plus, jentera itu boleh dicas semula sehingga kapasitinya mencecah 80 peratus hanya dalam masa dua jam setengah.
Sekiranya menggunakan stesen pengecasan arus terus, kereta itu hanya memerlukan kira-kira 36 minit untuk dicas daripada kapasiti bateri sifar sehingga 80 peratus.
Jentera itu memiliki saiz yang sama dengan MINI Cooper S, namun rupanya diserlahkan menerusi penggunaan warna Energetic Yellow (kuning).
Bampar dan gril radiator yang khusus untuk model tersebut pula didatangkan dalam warna Vigorous Grey (kelabu) berserta Lencana E berwarna kuning. Komponen bilah gril hadapan ditawarkan dalam dua warna iaitu kelabu atau kuning.

Dengan pakej Lights, MINI elektrik itu dilengkapi dengan lampu hadapan Matrix diod pemancar cahaya (LED), serta lampu belakang LED dengan gubahan Union Jack.
Cermin kenderaan itu juga dilengkapi dengan ciri antisilau. Selain itu, MINI elektrik itu didatangkan dengan set roda MINI Electric Power Spoke bersaiz 17 inci dalam dwitona dipadankan dengan tayar run flat.
MINI elektrik hadir dengan empat mod pemanduan iaitu Sport, Mid, Green dan Green+ baharu, yang mana ia meningkatkan jarak operasi elektrik dengan mengehadkan fungsi tertentu.
Jentera itu turut menampilkan fungsi pengehad gelincir roda (ARB) yang menambah baik tahap cengkaman dengan membekalkan kawalan lebih pantas.
Fungsi itu juga mengurangkan power understeering yang biasanya berlaku pada kenderaan pacuan roda hadapan.
MINI Cooper SE itu didatangkan dengan reka bentuk dalaman eksklusif.
Rekaan spesifik bagi model ini merangkumi MINI Electric Cockpit Fascia, butang Mula/Henti MINI Electric dalam warna kuning dan hamparan lantai velor MINI Electric.
Konsol tengah kereta ini berkedudukan lebih tinggi, selain brek parkir elektrik terintegrasi turut menjadi ciri standard bagi dalam kenderaan tersebut.
Pelbagai maklumat navigasi dipersembahkan melalui sistem Navigasi MINI 8.8 inci yang hadir dengan aplikasi MINI Connected merangkumi perkhidmatan seperti Teleservices, Servis Jarak Jauh, Panggilan Kecemasan Pintar, MINI Dalam Talian dan Apple CarPlay.

Kenderaan ini turut dilengkapi dengan Head Up Display dan sistem 12 pembesar suara Harman Kardon.
Selain itu, Kluster Instrumen Digital pula diperkenalkan buat julung-julung kali bagi kenderaan MINI. Ia memaparkan maklumat seperti mod pemanduan, status pengecasan kenderaan, jarak operasi yang berbaki serta suhu di luar kenderaan.
Green Driving Assistant (GDA) membekalkan fungsi bermanfaat seperti pembantu jarak operasi yang memberikan pelbagai solusi kepada pemandu ketika ketandusan bateri.
MINI elektrik adalah model kenderaan itu yang pertama di Malaysia dilengkapi sistem Bantuan Memandu.

Ia merupakan sistem keselamatan berasaskan kamera meliputi info had kelajuan, serta bantuan lampu puncak yang diaktifkan secara automatik pada kelajuan 50 km/j dan ke atas, atau dalam keadaan pencahayaan luaran yang kurang baik.
Sistem itu juga dilengkapi dengan amaran pejalan kaki dengan fungsi pembrekan ringan serta amaran kawalan penghampiran objek dengan fungsi sama.
Kedua-duanya memberikan keselamatan maksimum jika ada potensi berlakunya perlanggaran dengan mempersiapkan brek untuk memberi tindak balas lebih pantas.
Jika impak tidak dapat dielakkan, fungsi pembrekan akan membantu mengurangkan kelajuan perlanggaran.
MINI elektrik itu juga dilengkapi dengan Bantuan Parkir, Kawalan Jarak Parkir hadapan dan belakang serta Kawalan Luncur dengan fungsi pembrekan.
Empat warna ditawarkan bagi jentera itu iaitu White Silver (putih), Energetic Yellow (kuning), British Racing Green (hijau) dan Chili Red (merah).
MINI Elektrik Baharu boleh ditempah menerusi online melalui https://shop.mini.my/booking/mini-electric dengan bayaran tempahan RM1,000.














