fbpx

K2

Mengenang pengorbanan perajurit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHLI MHG dan WAR memakai seragam tentera British dan askar Melayu pada tahun 1941 hingga 1944 di Tugu Peringatan Perang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Oleh ZAKI SALLEH

TIUPAN tetuang itu kedengaran sayup-sayup memecah hening pagi di Tugu Peringatan Perang yang terletak tidak jauh dari Tugu Negara dekat Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Perasaan pilu pantas menangkap jiwa tatkala tiupan yang dinamakan Last Post itu dialunkan.

Tiupan Last Post ialah sebahagian daripada tradisi ketenteraan Inggeris yang telah bermula sejak tahun 1750 sebagai tanda berakhirnya aktiviti di dalam kem atau pangkalan apabila bendera diturunkan menjelang senja.

Bagaimanapun, tiupan Last Post kemudian dialunkan untuk penghormatan memperingati tentera yang terkorban di medan perang sebagai simbolik berakhirnya jiwa seorang perajurit.

Last Post kini sinonim dimainkan pada upacara peringatan perang. Tiupan ini juga dialunkan sekiranya sesebuah pasukan tentera berpindah pada upacara yang dikenali sebagai paluan berundur.
Tugu Peringatan Perang ini asalnya terletak di bulatan di hadapan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur bersebelahan Masjid Negara sebelum dipindahkan ke lokasi sedia ada apabila Tugu Negara dibina pada tahun 1966.

Tugu Peringatan Perang didirikan oleh kerajaan British bagi memperingati askar yang terkorban semasa Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1939-1945) dan Darurat (1948-1960).

Peniup tetuang, Abd. Rahim Md. Jani pantas menurunkan alat tiupan itu pada genggaman tangan kanan sebaik Last Post berakhir. Kelihatan berdiri di hadapan tugu enam individu berpakaian seragam seperti askar Perang Dunia Kedua yang memberikan tabik hormat.

Bagaimanapun, mereka bukanlah anggota tentera sebaliknya pencinta sejarah ketenteraan yang terdiri daripada ahli kumpulan Malaya Historical Group (MHG) dan We Are Reenactors (WAR) diketuai Shaharom Ahmad yang juga merupakan ketua penyelidik MHG.

Lima yang lain ialah Abdul Hakim yang bekerja sebagai pereka grafik, Andrea Tan (usahawan media sosial), Nor Hisham Zulkiflee (guru), Rizal Md. Misrom (pekerja swasta) dan Mohammad Alif Daniel (pelajar).

Mereka hadir bagi memperingati hari kemenangan perang atau tewasnya Jepun semasa Perang Dunia Kedua yang dikenali sebagai Victory over Japan (VJ) yang diraikan pada setiap tanggal 15 Ogos di negara-negara terbabit.

Bezanya, tahun ini tiada acara dianjurkan di Kuala Lumpur disebabkan pandemik Covid-19. Ahli-ahli MHG dan WAR cuma mengambil inisiatif mengadakan acara berkenaan sendirian.

Menurut Shaharom, tindakan ini dibuat semata-mata untuk memperingati askar-askar yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu.

“Ini adalah upacara ringkas yang dimulakan dengan tiupan Last Post diikuti tabik hormat sebelum saya membacakan puisi bertajuk The Road to Mandalay karya Rudyard Kipling sebelum bersurai.

“Kami mengenakan seragam sama seperti mana dipakai tentera British dan askar Melayu pada tahun 1941 hingga 1944 bagi menghidupkan suasana.

“Secara kebetulan Presiden Malaysia British Society (MBS), Chris Syer turut hadir memberikan penghormatan. Rupa-rupanya beliau tidak tahu tahun ini tiada upacara rasmi,” ujar Shaharom sambil menjelaskan upacara itu biasanya dilakukan oleh tentera-tentera British atau Australia di negara-negara Komanwel.

AHLI MHG dan WAR memberikan tabik hormat sambil tiupan tetuang Last Post dimainkan
di Tanah Perkuburan Perang Komanwel di Cheras.

Selepas kunjungan Shaharom dan rakan-rakannya berakhir di Tugu Peringatan Perang, mereka bergerak pula ke Tanah Perkuburan Perang Komanwel di Cheras yang terletak lapan kilometer dari situ. Perkuburan itu menjadi tempat persemadian ribuan tentera Berikat dan Komanwel yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua dan zaman Darurat.
Kawasan perkuburan berusia lebih 100 tahun ini dijaga rapi oleh Suruhanjaya Tanah Perkuburan Perang Komanwel yang turut bertanggungjawab menjaga Tanah Perkuburan Perang di Taiping, Perak.

Bertafakur

Setibanya di sana, Shaharom dan rakan-rakan lain berdiri sebaris lalu memberikan tabik hormat sebaik tiupan Last Post dimainkan oleh Abd. Rahim. Kehadiran mereka telah menarik perhatian beberapa orang pengunjung termasuk pelancong asing.

Apabila diberitahu upacara itu bagi memperingati askar semasa Perang Dunia Kedua, mereka menundukkan kepala bertafakur sebagai tanda hormat. Tamat upacara di situ, lokasi terakhir yang dituju ialah ke Sekolah Menengah Victoria Institution (VI) di Jalan Hang Tuah.

Sekolah menengah tertua di ibu kota yang dibuka pada tahun 1893 ini merupakan lokasi penting yang menyaksikan penyerahan kalah tentera Jepun kepada British sebaik Perang Dunia Kedua berakhir.

Kedudukan VI yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur menyebabkannya dipilih sebagai lokasi upacara bersejarah itu.
VI dijadikan Markas Pemerintahan Tentera Jepun di Kuala Lumpur. Justeru, pemilihan tempat ini juga adalah simbolik kemenangan bagi pihak British yang ingin mengaibkan Jepun.

Kata Shaharom, apa yang menarik ialah dua upacara penyerahan kalah Jepun telah diadakan. Pertama, di dewan utama VI pada 1945, manakala kali kedua di pekarangan bangunan utama sekolah tersebut pada 1946.

“Sebab itu ada dua latar belakang gambar yang berbeza semasa penyerahan kalah Jepun di Kuala Lumpur kerana diadakan di sekolah sama cuma lokasi berbeza.

“Penyerahan pertama berlangsung pada 13 September 1945 antara Pegawai Pemerintah Kor Tentera Darat India ke-34, Leftenan Jeneral O.L. Roberts dengan Leftenan Jeneral Teizo Ishiguro.

Ketika itu Roberts merupakan pegawai kanan tertinggi British di Malaya.

“Ishiguro menggunakan berus menurunkan tandatangan, manakala Roberts menggunakan sebatang pen. Upacara ini hanya mengambil masa 20 minit dan tamat pada pukul 2.30 petang,” cerita Shaharom.

Ia diikuti penyerahan pedang samurai dan senjata beramai-ramai di Lapangan Terbang Kuala Lumpur yang kini merupakan bekas Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia.
Shaharom berkata, pentadbiran British di Tanah Melayu kemudian diambil oleh oleh Leftenan Jeneral Sir Frank Messervy apabila Tanah Melayu diletakkan di bawah Pentadiran Tentera British (BMA). Bangunan VI pula dijadikan markas Pemerintahan Malaya (Malaya Command).

Bermula 1 Disember 1945, semua hal membabitkan penyusunan semula pentadbiran di Tanah Melayu diputuskan di sini.

“Upacara penyerahan kali kedua pula dilakukan atas arahan Messervy yang berlangsung pada 22 Februari 1946 pada waktu petang di pekarangan bangunan utama VI.

“Pegawai Pemerintah Kawasan Tentera ke-7, Jeneral Itagaki menyerahkan pedangnya kepada Messervy, manakala 15 orang pegawai kanan lain menyerahkan pedang mereka kepada Brigadier Jeneral C. P. Jones.

“Sebenarnya ini bukanlah pedang mereka tetapi diambil daripada simpanan pedang di Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Difahamkan, upacara penyerahan kali kedua ini hanyalah sebagai simbolik selain tanda penghormatan daripada Messervy sebelum Itagaki dan para pegawainya dihantar pulang ke Jepun,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI