fbpx

Guan Eng mengaku tidak bersalah lupus dua tanah kerajaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng.

SEBERANG PERAI – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas dua pertuduhan melupuskan tanah kerajaan negeri Pulau Pinang pada 2015 dan 2017.

Guan Eng, 60, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa telah menyebabkan Pendaftar Hakmilik Tanah Pulau Pinang melupuskan harta kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timur Laut bernilai RM135,086,094 kepada syarikat Ewein Zenith Sdn. Bhd.

Setiausaha Agung DAP itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar di George Town dekat sini pada 17 Februari 2015.

Mengikut pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan Lot Tanah No. H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang bernilai RM73,668,986 kepada syarikat Zenith Urban Development Sdn. Bhd di lokasi sama pada 22 Mac 2017.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan [Akta 574] bagi kedua-dua pertuduhan.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum penjara di antara enam bulan sehingga lima tahun, dengan sebatan dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin, R. Francine Cheryl dan S. Selvaranjini, manakala Guan Eng diwakili barisan peguam yang diketuai Gobind Singh Deo.

Mahkamah membenarkan Ahli Parlimen Bagan itu diikat jamin sebanyak RM1 juta bagi kedua-dua pertuduhan beserta seorang penjamin.

Kes itu akan disebut semula pada 12 Oktober depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada 10 Ogos lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan sebanyak RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Sehari kemudian, beliau sekali lagi mengaku tidak bersalah di mahkamah itu selepas dituduh menggunakan kedudukan tersebut dan sebagai Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang untuk mendapat suapan kepada isterinya, Betty Chew Gek Cheng sebanyak RM372,009 daripada sebuah syarikat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI