fbpx

Lebih bersih, teratur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bersih dan teratur. Itu gambaran suasana baharu Pasar Borong Kuala Lumpur (KL) yang kini didominasi pekerja warga tempatan selepas ‘proses pembersihan’ warga a­sing dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Jun lalu.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, suasana di pasar berkenaan lebih tenang selain pelanggan mudah berurusan dengan pekerja rakyat tempatan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur.

Seorang pekerja, Raja Uzir Raja Abiddin, 42, berkata, suasana kerja di pasar borong itu tidaklah seteruk yang disangka, malah dia menganggap keputusannya untuk bekerja di pasar tersebut sebagai langkah yang tepat.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pengawal keselamatan, bagaimanapun syarikat bertindak memotong gaji kami ekoran masalah kewangan yang dihadapinya akibat pandemik Co­vid-19.

“Sebaik sahaja mengetahui mengenai kerja kosong di pasar borong ini melalui aplikasi WhatsApp, saya terus ke sini dan memohon pekerjaan.

“Pada awalnya memang sukar kerana perlu membiasakan diri dengan suasana baru, tetapi kira-kira selepas seminggu bekerja saya sudah mula selesa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia yang bekerja sebagai pembantu di kedai sayur menerima RM70 sehari dan dibayar secara mingguan.

Katanya, gaji tersebut melebihi gaji yang diperolehi sewaktu bekerja sebagai pengawal ke­selamatan sebelum ini.

Seorang lagi pekerja, Mohd. Zainul Ariffin Mohiyadeen, 20, berkata, walaupun agak sukar pada mulanya untuk menyesuaikan diri bekerja di pasar ber­kenaan, namun selepas empat bulan dia akui semakin selesa dengan kerjaya baharunya itu.

Menurutnya, dia yang sebelum ini bekerja sebagai penyelia di medan selera di sebuah pusat beli-belah, namun tindakan majikan memotong gaji dalam jumlah yang agak banyak ekoran Perintah

Kawalan Pergerakan membuatkannya nekad mencari pekerjaan lain.

“Saya mendapat maklumat mengenai kerja kosong di pasar borong daripada kenalan.

“Minggu pertama bekerja di sini, memang sukar kerana perlu mengangkat barang-barang yang berat. Bagaimanapun, saya mengambil keputusan untuk te­rus bekerja di sini dengan pendapatan sehari, RM100,” ujarnya yang bekerja dengan pembantu di kedai sayur.

Menurut Mohd. Zainul, rata-rata pekerja di pasar borong itu kini terdiri daripada rakyat tempatan, malah pelanggan warga asing juga dilihat tidak lagi berkunjung ke pasar ekoran tindakan pihak berkuasa yang sentiasa mengawasi pasar borong tersebut.

Pada Jun lalu, sekurang-kurangnya 3,500 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sebelum ini bebas bekerja di pasar borong itu berjaya ‘dihapuskan’ Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan pelaksanaan PKPD.

Kosmo! semalam, melaporkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. R Santhara Kumar berkata, sehingga 25 Ogos lalu, kira-kira 448 pemborong berlesen yang berniaga di pasar borong berkenaan dengan jumlah pekerja ialah 1,930 pekerja pembantu dalam kalangan warga Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI