fbpx

Isuzu D-Max Stealth, bukan sebarang trak pikap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Trak pikap ialah kenderaan komersial ringan yang banyak digunakan oleh golongan petani untuk mengangkut sayur-sayuran dan buah-buahan dari satu lokasi ke destinasi lain.

Peralihan masa hampir 40 tahun lalu menyaksikan trak pikap berubah dan tidak lagi dilihat sebagai satu kenderaan angkut buah di kawasan luar bandar.

Jentera ini menjadi sebahagian pilihan pengguna bandar bagi tujuan perseorangan malah tidak kurang juga untuk seisi keluarga. Trak pikap kini menerima penambahbaikan hingga mampu menawarkan keselesaan setanding sebuah kereta sedan.

Antara syarikat yang aktif menaik taraf dan memberi nilai tambah pada kenderaan trak pikap ialah Isuzu Malaysia.

Beberapa minggu lalu, Isuzu Malaysia memperkenalkan satu varian baharu bersifat eksklusif iaitu D-Max Stealth edisi terhad dengan tawaran cuma 180 unit.

Stealth ditempatkan sebagai varian paling mewah dalam keluarga D-Max di Malaysia, mendahului D-Max 3.0L, D-Max 1.9L (AT, Type-B dan Low Ride) serta versi Single Cab.

Model D-Max Stealth dibangunkan daripada varian premium D-Max AT tetapi mendapat pakej tambahan premium dan sentuhan baharu agar nampak lebih sporty.

Stealth dipasang enjin diesel turbo empat silinder 1.9 liter Ddi Blue Power yang menjana output maksimum 150PS pada 3,600rpm dan tork puncak 350Nm pada 1,800rpm-2,600rpm. Transmisi digunakan adalah automatik enam kelajuan dengan sistem pacuan empat roda.

Jurusolek Isuzu memilih warna hitam sebagai pengganti krom pada beberapa komponen termasuk gril depan, kemasan lampu depan dan lampu kabus selain kemasan bampar. Rel bumbung dan bampar belakang juga berwarna hitam.

Gril trak pikap ini ada garis kemasan halus berwarna perak untuk memadankan dengan gaya spoiler bampar depan.

Rim dua tona Stealth ini diperbuat menggunakan material aluminium dan sebesar 18 inci. Bahagian bawah pintu penumpang belakang dan pintu but trak pikap ini ditampal dekal Stealth.

Pereka Isuzu ada membuat penambahbaikan pada pintu but belakang untuk memudahkan pembukaan dan ini boleh dilakukan dengan hanya sebelah tangan.

Trak pikap ada pemijak sisi pintar. Komponen ini akan dibuka secara automatik sebaik pintu kenderaan dibuka untuk memudahkan penumpang pijak dan turun ke tanah. Pemijak sisi ini akan kembali ke tempat asal apabila pintu ditutup.

Tidak cukup dengan itu, ada lampu akan menyala secara automatik menerangi permukaan jalan semasa pemijak sisi dibuka untuk membolehkan anda turun dengan selamat khususnya di tempat gelap atau pada waktu malam.

Ruang dalaman trak pikap ini kelihatan sporty dengan tempat duduk berwarna merah hitam, menggabungkan penggunaan material kulit premium serta fabrik. Ada sulaman Stealth pada tempat sandar kerusi.

Keseluruhan kabin Stealth didominasi tona kelabu gelap dengan sentuhan kemasan warna hitam berkilat, seperti pada bahagian konsol tengah.

Isuzu D-Max Stealth juga dilengkapi kamera perakam digital pada bahagian depan dan belakang, menawarkan kualiti rakaman definisi penuh (Full HD) sama ada siang atau malam. Semua rakaman video akan disimpan dalam kad memori SD 32 gigabit.

Stealth dipasang sensor pengesan pergerakan untuk membuat rakaman dalam radius sudut 140 darjah. Rakaman dibuat sebaik mengesan ada pergerakan semasa kenderaan diparkir atau impak pelanggaran.

Kamera ini boleh dihubung pada telefon pintar pemilik menerusi sambungan Wi-Fi untuk memainkan semula rakaman video. Ini boleh dibuat jika pemilik sudah memuat turun aplikasi IROAD melalui Apple App Store atau Google Play.

Selain itu, pemilik Stealth dapat menikmati ciri Peninjau Sekeliling (AVM) dengan Panduan Imej 3D untuk memudahkan mereka meletak kenderaan atau meninjau objek di sekeliling kenderaan.

Sistem ini menggunakan empat unit kamera yang dipasang di sekeliling Stealth akan memberi pilihan paparan dari atas atau paparan 3D jika menolak tombol gear kepada gear undur.

Pemilik juga boleh menekan butang secara manual untuk aktifkan AVM jika mahu meninjau apa yang berada di sekeliling trak mereka.

Bampar depan juga ada sensor untuk membantu mereka semasa parkir kenderaan. Sensor akan hidup secara automatik sebaik kenderaan dipandu dan nyah aktif semasa kelajuan melepasi paras 25 kilometer sejam (kmj).

Apabila kelajuan dikurangkan hingga 20 kmj, sensor ini akan kembali aktif. Pemandu boleh mematikan fungsi ini jika mahu.

Isuzu D-Max Stealth didatangkan dengan jaminan istimewa tujuh tahun tanpa had perbatuan. Harga atas jalan tanpa insurans ialah :

  • Semenanjung Malaysia: RM125,799.20
  • Sabah : RM128,176.20
  • Sarawak : RM128,220.30

POPULAR