fbpx

Taufan Haishen semakin ganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOKYO – Taufan Haishen, satu lagi ribut kuat, membadai Jepun lewat petang semalam membawa angin selaju 290 kilometer sejam (kmj) dan diklasifikasikan sebagai ‘ribut ganas’ berdasarkan skala meteorologi di Jepun.

Ribut ganas itu sedang menuju ke wilayah Okinawa di selatan Jepun sejak semalam dan dijangka membadai kawasan barat Kyushu, mendorong pihak berkuasa meminta penduduk di kawasan itu agar bersiap sedia.

Pihak berkuasa di Pulau Minamidaitojima mengarahkan kira-kira 1,300 penduduk supaya berpindah selepas meramalkan taufan itu bakal melanda bahagian timur Okinawa.

“Kami minta semua penduduk pulau sentiasa berjaga-jaga pada ketika angin ribut bertambah kuat dan dijangka bertukar ganas,” kata Hidehito Iha, seorang pegawai kerajaan tempatan.

Beberapa rakaman menunjukkan askar mengiringi sekumpulan individu di satu tapak pendaratan di Kagoshima, selatan Kyushu, selepas mereka dipindahkan dari sebuah pulau terpencil menggunakan helikopter tentera.

Toyota menutup operasi sementara di tiga buah kilang di Kyushu sehingga Isnin ini susulan amaran (cuaca) dikeluarkan pihak kerajaan.

Beberapa syarikat lain seperti Canon dan Mitsubishi Electric dilaporkan merancang untuk mengambil langkah sama seperti Toyota.

Stesen penyiaran awam, NHK melaporkan hampir 100 penerbangan terpaksa didaratkan di Jepun angkara ribut dan beberapa perkhidmatan kereta api laju Shinkansen digantung di barat Jepun esok.

Sementara itu, Jepun turut menggantung operasi pencarian sekumpulan kelasi dari sebuah kapal kargo yang karam akibat Taufan Maysak selepas berdepan ancaman ombak besar dan angin kuat semalam.

Seorang pegawai Pengawal Pantai Jepun berkata, operasi pencarian dilancarkan pada awal pagi semalam dengan menghantar pesawat tetapi pulang tanpa bukti penemuan.

“Kami merancang menunda keseluruhan operasi hingga Taufan Haishen melepasi Jepun,” katanya.

Kapal Gulf Livestock 1 membawa kira-kira 6,000 ekor lembu dan 43 anak kapal mengeluarkan isyarat kecemasan pada Rabu lalu dekat Pulau Amami Oshima sebelum karam akibat Taufan Maysak.

Kapal kargo itu membawa seramai 39 kelasi warga Filipina dan masing-masing dua anak kapal New Zealand dan Australia.

Setakat ini, dua kelasi warga Filipina ditemui selamat di laut pada petang Rabu dan kelmarin. Kementerian Luar Filipina mengesahkan kedua-dua mangsa terselamat sudah menghubungi keluarga masing-masing.

Gulf Livestock 1 mengalami masalah enjin berlepas dari Napier di New Zealand ke Pelabuhan Tangshan di China sebelum karam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI