fbpx

Kami orang tua – Zarul Umbrella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN UMBRELLA

CUKUP dikenali dengan lagu hit Ramalanku Benar Belaka, band popular era 1990-an, Umbrella yakin mampu terus membina nama biarpun berdepan saingan dengan band-band baharu yang jauh lebih muda.

Vokalisnya, Zarul atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin, 45, bersyukur muzik video single terbaharu, Hilang berjaya meraih lebih 100,000 tontonan hanya dalam masa tiga hari selepas dimuat naik menerusi YouTube.

Katanya, jumlah tersebut sudah memadai memandangkan kumpulan berkenaan perlu bersaing dengan populariti kumpulan bakat baharu yang digelar BBNU (budak-budak baru nak up).

“Jika ada rezeki untuk menembusi pasaran orang muda, apa salahnya? Kami semua orang tua. Jumlah tontonan tidak mengecewakan juga jika nak dibandingkan dengan bakat muda.
“Kali terakhir Umbrella hasilkan single ialah pada 2011 menerusi lagu Sayang Bersebab, ciptaan Saari Amri. Hampir 10 tahun tidak rakam lagu baharu, jadi bila diberi peluang, memang kami gembira.

SEDAR usia setiap anggota bukan lagi muda, Zarul (dua dari kanan) anggap single terbaharu Umbrella berjudul Hilang akan beri kepuasan kepada mereka. – FARIZ RUSADIO

“Ikut perancangan awal memang nak keluarkan single selepas dua tahun saya keluar daripada program Gegar Vaganza, tetapi sekarang baru ada rezeki,” kata Zarul ketika ditemui Pose pada majlis pelancaran single Hilang di ibu negara baru-baru ini.

Umbrella yang ditubuhkan pada 1994 itu pernah melakar sejarah tersendiri apabila lagu-lagu mereka menjadi kegemaran ramai, antaranya, Ramalanku Benar Belaka, Bukalah Hatimu dan Retak Jangan Relai.

Bukan nak glamor

Bagaimanapun kata Zarul, kehadiran Hilang bukan bertujuan mengaut keuntungan atau meraih populariti, sebaliknya single berkenaan dihasilkan bagi mengekalkan jenama Umbrella dalam industri muzik.

“Kami berempat bangga dapat mengekalkan Umbrella hingga hari ini. Sekiranya ada pihak berpendapat kami wajar berhenti atau beri peluang pada anak-anak muda, biar sahaja.
“Kami buat bukan sebab nak glamor tetapi demi cintakan muzik dan kepuasan sendiri,” katanya.

Bercakap tentang tajuk single, meskipun perkataan hilang selalu dikaitkan dengan sesuatu yang buruk atau negatif, vokalis Umbrella, Zarul berpendapat sebaliknya.

Berdasarkan pemerhatian Zarul, penggunaan perkataan ‘hilang’ sebagai judul lagu agak popular dalam kalangan penyanyi tempatan.

“Tidak semestinya gunakan judul Hilang bawa badi. Kami tidak anggap begitu walaupun sembilan tahun kumpulan ini tidak terbitkan lagu baharu buat peminat.

“Ada beberapa penyanyi popular negara yang menggunakan perkataan tersebut sebagai tajuk lagu dan karya mereka masih ada yang minat,” katanya menepis perkataan hilang boleh memberi impak buruk terhadap singlenya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI