fbpx

Zulkifli Zain meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Zulkifli Zain (duduk, kanan) bersama keluarga.

KUALA LUMPUR- Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain meninggal dunia sebentar tadi sekitar pukul 7.30 malam di kediamannya di Ukay Perdana akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kegagalan buah pinggang kronik.

Berita pemergian Zulkifli,76, disahkan oleh anaknya, Dr. Norzizi Zulkifli yang memberitahu arwah pergi dengan tenang di sampingnya.

“Kebetulan hari ini adalah giliran saya menemani arwah Papa jadi memang dia menghembuskan nafas terakhir di sisi saya tanpa adik-adik lain.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah,”katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Dalam pada itu, Norzizi berkata dia sedikit terkilan kerana arwah tidak sempat menikmati mee kari yang diminta beberapa hari lalu berikutan ketiadaan air di sekitar kawasan Lembah Klang hari ini.

“Papa ada minta saya masakkan mee kari walaupun dia sebenarnya sudah tidak mampu menelan sebarang makanan pejal.

“Saya bercadang hendak memasak makanan kegemarannya itu hari ini tetapi rumah tiada air,” ujarnya lagi.

Sementara itu, aktivis teater itu juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk rakan-rakan artis, peminat dan media yang mengirimkan ucapan takziah buat mereka sekeluarga.

Dia juga meminta andai arwah bapanya berhutang dengan mana-mana pihak dan belum dilangsaikan, mereka boleh menghubungi Norzizi untuk menyelesaikannya.

“Doakan urusan pengebumian Papa berjalan lancar dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman,” katanya lagi.

Jenazah Allahyarham dijangka dibawa ke Masjid Ukay Perdana pagi esok dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang selepas solat Zuhur.

Terdahulu pada awal Mac lepas, Zulkifli telah dikejarkan ke Hospital Pakar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh akibat jangkitan kuman dalam darah dan kegagalan buah pinggang.

Pada 2016, bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) pernah mendapat serangan angin ahmar yang agak serius.

Zulkifli yang merupakan pelakon popular sekitar 80-an dengan filem Tiada Esok Bagimu dan Jiwa Remaja itu meninggalkan seorang balu, Datin Normala Omar bersama lima orang anak beserta tujuh orang cucu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN