fbpx

Kamarudin tabik usaha Zamsaham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUDIN menyuarakan kegembiraan serta memuji usaha Norizam menyelamatkan pasukan TRW yang dirundung krisis kewangan.

Pemilik baharu TRW bukan cakap kosong, serius mahu ambil alih pasukan

KESUNGGUHAN yang ditunjukkan pemilik baharu Kelantan FC, Norizam Tukiman untuk mengambil alih pengurusan pa­sukan itu wajar dijadikan contoh terbaik.

Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham menjadi pemilik baharu Kelantan FC selepas membeli 100 peratus saham anak syarikat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) iaitu Team Red Warriors Sdn. Bhd. kelmarin.

Legenda bola sepak negara yang juga bekas pemain Kelantan, Kamarudin Abdullah menyuarakan kegembiraan serta memuji usaha Norizam menyelamatkan pasukan The Red Warriors (TRW) yang dirundung krisis kewangan.

Katanya, usaha anak kelahiran Johor itu wajar dijadikan contoh oleh setiap pihak terutamanya yang memiliki hasrat serta berminat untuk mengambil alih mana-mana pasukan bola sepak di Malaysia.

“Saya gembira dengan perkembangan ini kerana sebagai anak Kelantan, saya tidak mahu pasukan TRW terkubur begitu sahaja. Diharapkan dengan pemilik baharu masalah sebelum ini tidak kedengaran lagi.

“Norizam cukup profesional berhubung urusan ambil alih pasukan kerana beliau tampil untuk bersemuka serta berbincang dengan KAFA. Inilah cara terbaik, bukan sekadar cakap kosong di media sosial,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kamarudin yang juga anggota skuad Sukan Olimpik Moscow 1980 mengakui mengikuti perkembangan isu pembelian pasukan Kelantan dan beliau ­nyata tidak berapa senang de­ngan beberapa individu bermain tarik tali sebelum ini.

Pada masa sama, beliau menghargai keikhlasan Norizam yang mahu membantu Kelantan apa­bila mengeluarkan dana RM6.8 juta bagi mengambil alih pasukan Pantai Timur itu, termasuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai serta hutang lapuk.

“Saya ada baca sebelum ini beberapa individu mahu beli Kelantan tetapi mereka tidak serius. Kemudian, ada yang hanya mahu ambil alih jika masalah hutang sudah selesai.

“Norizam cukup berbeza ke­ra­na beliau ambil alih pasukan dan menanggung hutang itu, bagi saya itulah cara sebenar orang yang ikhlas membantu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI