fbpx

22,360 penduduk mula pakai gelang merah jambu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas kesihatan memakaikan gelang merah jambu kepada seorang penduduk di Surau Salahuddin Al-Ayyubi, Ambangan Height semalam.

SUNGAI PETANI – Sebahagian daripada 22,360 penduduk di tiga zon di Ambangan Heights, Amanjaya di sini mula menjalani ujian saringan Covid-19 bagi Kluster Tawar bermula semalam.

Tiga zon tersebut iaitu Zon Kenanga, Mawar dan Melor membabitkan 5,262 buah rumah kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

Tinjauan di Surau Salahuddin Al-Ayyubi di Zon Melur, yang merupakan salah sebuah pusat saringan Covid-19 mendapati kira-kira 100 penduduk mula menjalani saringan sejak pukul 8 pagi semalam.

Ujian saringan itu akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka mengambil masa kira-kira seminggu untuk selesai.

Difahamkan, semua penduduk yang membuat saringan akan dipakaikan gelang merah jambu dan putih. Gelang putih dipakaikan kepada ketua keluarga bagi membolehkan mereka keluar membeli barang keperluan dalam kawasan PKPD.

Penduduk Zon Melor, Abdul Rahim Md. Yusuf, 41, yang merupakan seorang peguam berkata, ujian saringan akan dilakukan secara berperingkat bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam.

 

SEORANG kanak-kanak sedang menjalani saringan Covid-19 semalam.

 

“Penduduk terlibat akan dimaklumkan oleh petugas Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda.

“Bagi saya, pelaksanaan PKPD dan ujian saringan ini sebenarnya melegakan penduduk yang sebelum ini resah dengan penularan virus termasuk di sebuah sekolah rendah di sini,” katanya di sini semalam.

Dia yang juga setiausaha surau tersebut berkata, salah seorang ahli jawatan kuasa surau itu telah dikuarantin lebih awal kerana menjadi kontak rapat kepada salah seorang individu yang di­sahkan positif Covid-19.

“Kluster Tawar ini dari Tawar Baling, namun pahitnya turut dirasai penduduk di Sungai Petani ini,” katanya.

Penduduk lain, Mohd. Syahir Yusop, 37, berkata, sebelum PKPD dia bimbang keselamatan empat anaknya termasuk seorang yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Ambangan Heights.

“Anak saya belajar di tahun tiga sekolah itu telah dikuarantin dan dipakaikan gelang merah jambu pada Selasa lalu selepas ada beberapa murid di situ yang positif Covid-19,” katanya yang merupakan seorang guru.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Permuafakatan Kawasan Rukun Tetangga Zon Bukit Selambau, Razak Wahab, 48, berkata, penduduk tidak mempunyai masalah untuk membeli barang keperluan kerana terdapat dua pasar raya mini di kawasan perumahan itu.

“Walau bagaimanapun, la­rangan bekerja mengakibatkan peniaga hilang sumber pendapatan, justeru saya berharap kerajaan dapat menghulurkan bantuan dengan segera,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI