“PENAT ke jadi lelaki bujang?”
Soalan cepumas tersebut terbit daripada mulut seorang wakil wartawan saat lelaki berusia 32 tahun itu ‘menyerahkan diri’ untuk ditemu bual selepas sidang akhbar program realiti Immortal Songs di Serdang baru-baru ini.
Segak bersalut jaket berwarna jingga terang jenama Gucci dan berkaca mata hitam, Hael Husaini masih sama seperti yang dikenali semua sejak beberapa tahun lalu. Dia ramah dan ceria.
Berbalik kepada soalan pertama tadi, Hael dengan nada berseloroh menjawab: “Malam ini malam mencari cinta, Lupakan kerja sementara.”
Tidak silap penulis, ayat tersebut merupakan bait-bait lirik yang terdapat dalam lagu Bujang yang baru dilancarkan pada bulan lalu.

Bujang
Jadi, secara nyata persoalan tersebut bukan sengaja hendak mencipta isu, tetapi ada kaitan dengan single terbaharunya.
Masih mengekalkan genre pop, Bujang yang merupakan ciptaan sepenuhnya Hael dan MFMF itu membawa mesej yang kedengaran seperti luahan hati si penyanyi sendiri.
Menurut Hael, dia merupakan seorang penyanyi yang suka berkarya berdasarkan sesebuah konsep.
“Saya suka buat lagu begitu, dan sekarang konsepnya fokus terhadap mana-mana individu bujang seluruh dunia.
“Malah ramai kawan-kawan saya yang masih bujang. Jangan dilupa, saya juga orang bujang (ketawa),” katanya.
Hael memberitahu, dia mengeluarkan lagu Bujang kerana ingin lari daripada lagu-lagu kebiasaan di negara ini.
“Kebanyakan yang kita dengar dalam radio selalunya berunsurkan cinta atau pun putus cinta, tetapi jarang kita dengar lagu yang dinyanyikan untuk mereka yang masih bujang.
“Tidak adil kan benda itu? Jadi saya ingin menjadi pelopornya dengan menghiburkan orang bujang di luar sana,” ujar penjulang trofi juara pada Anugerah Juara Lagu ke-32 itu.
“Ada tak timbul rasa tertekan kerana masih membujang sampai sekarang?” cetus seorang rakan wartawan kepada jejaka berkumis nipis itu.
“Tipulah kalau tidak tertekan sebab masih bujang, sebab umur saya pun semakin meningkat, tambahan pula kawan-kawan lain sudah berkeluarga. Tetapi saya cuba untuk kekal positif dan di situlah tercetusnya idea nak buat lagu ini.
“Selain itu, ramai yang suka cakap hidup bujang menyedihkan, jadi menangis sahaja di tepi bucu katil. Dengan lagu ini, saya ingin mengajak orang bujang mencari cinta, termasuklah saya sendiri,” katanya sebelum disambut gelak tawa rakan wartawan.
Tambah lelaki yang sedang digosipkan kononnya bakal bertunang dengan Dayang Nurfaizah itu: “Setiap orang bujang di dunia ini layak untuk bahagia selain harus mencari dan berdoa agar dipertemukan jodoh.

Ezra Kong
Suasana ceria bertukar serius apabila spekulasi suhu dingin hubungannya dengan rakan komposer, Ezra Kong menyusup dalam perbualan.
“Kelakar juga bila ramai cakap saya bergaduh dengan Ezra sebab hubungan kami okey sahaja selama ini, tidak sepatutnya dijadikan isu pun.
“Mungkin kerana tahun ini saya tiada lagu yang dihasilkan bersama Ezra, jadi cerita-cerita tidak sedap seperti ini pun timbul,” ujarnya.
Tambah Hael, sejak dahulu dia dan Ezra tidak menghalang sekiranya ada antara mereka ingin bekerjasama dengan pihak lain.

“Setiap kali saya menghasilkan lagu, kami akan bertemu serta bertukar pandangan mengenai naskhah yang ingin dilancarkan.
“Kami masih baik. Saya masih belajar dan dia pun mengajar saya banyak perkara,” katanya lagi.
Hael bagaimanapun tidak berasa rimas kerana sering diajukan perkara tersebut.
“Saya anggap isu ini biasa kerana sudah lumrah apabila jarang bekerjasama, pasti akan di’cop’ bergaduh,” ujarnya.

Sukar
Sepanjang bergelar komposer, hampir semua lagu ciptaan Hael meledak dan berjaya mendapat tempat dalam carta, bahkan pernah menjuarai pertandingan berprestij.
Jampi, Haram, Anta Permana dan terbaharu, Peluang Kedua antara lagu yang menaikkan namanya sebagai komposer.
Di sebalik catatan tersebut, muncul desas-desus mendakwa khidmatnya kini terlalu sukar untuk ditembusi.
“Tidak susah pun untuk dapatkan khidmat saya, tapi otak saya agak lembab sikit, jadi saya memerlukan masa untuk mencipta sesebuah lagu.
“Setiap lagu yang hendak dihasilkan memang ambil masa, sebab saya pentingkan kualiti. Untuk apa buat lagu banyak tetapi tak bagus,” ujarnya.
Pegangan Hael, dia bertanggungjawab sepenuhnya demi kepuasan ‘pelanggan’.
“Saya tak mahu jadi tamak. Kalau tak mampu nak buat, saya akan beritahu saya tak dapat lakukan. Jarang saya buat mereka menunggu.”
Dia juga menjelaskan yang tiada isu dia memilih artis yang ingin menyanyikan lagu ciptaannya.
“Saya bersifat terbuka dengan sesiapa sahaja yang hendak bekerjasama dengan saya. Sekali lagi, tiada isu dia terkenal atau tidak,” tutupnya.














