fbpx

Penjara seumur hidup tanpa parol terhadap penyerang Christchurch

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CHRISTCHURCH – Penyerang Christchurch, Brenton Tarrant dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol hari ini kerana jenayah pembunuhan beramai-ramai 51 orang Islam, manakala hakim menggelarnya sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Hakim Cameron Mander berkata, Tarrant dirasuk kebencian yang mendorong dia menyerang lelaki, wanita dan kanak-kanak tidak berdosa dalam serangan keganasan paling buruk di New Zealand tahun lalu.

Katanya, tertuduh gagal dalam matlamat mempromosi fahaman ekstremis berhaluan kanan selepas menembak mangsanya tanpa belas kasihan, tetapi komuniti Islam New Zealand terus menderita akibat perbuatannya.

“Ia kejam dan lebih teruk daripada jahat. Perbuatan kamu tidak berperikemanusiaan,” kata hakim.

Tarrant merupakan pelampau kulit putih berumur 29 tahun dan berasal dari Australia. Lelaki itu mengundang kebencian seluruh dunia apabila dia mengamuk selama 20 minit di dua masjid di Christchurch semasa solat Jumaat.

Tarrant mengaku bersalah terhadap 51 pertuduhan membunuh, 40 cubaan membunuh dan satu pertuduhan keganasan sekali gus mengubah pengakuan tidak bersalah sebelum ini.

Pendakwa raya, Mark Zarifeh berkata, kekejaman yang dilakukan Tarrant tiada tolok banding dalam sejarah jenayah di New Zealand.

“Hidup di sebalik tirai besi adalah hukumn paling wajar buat Tarrant,” katanya.

Ketika hukuman dibacakan, Tarrant tidak menunjukkan sebarang emosi.

“Sejak suami dan anak lelaki saya mati, saya tidak pernah tidur lena, saya tidak fikir akan dapat tidur lena lagi.

“Hukuman Tarrant sepatutnya berterusan selama-lamanya,” kata balu, Ambreen Naeem.

Tarrant menerima hukuman tersebut dan mengetepikan haknya untuk bercakap ketika keputusan perbicaraan diumumkan.

Sebaliknya, peguam lantikan mahkamah, Pip Hall membuat kenyataan pendek bagi pihak Tarrant sebelum hakim membacakan hukuman tertuduh.

“Tarrant tidak menentang keputusan bahawa dia sepatutnya dihukum penjara seumur hidup tanpa parol,” kata Hall. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI