fbpx

K2

Kehidupan setelah hilang kerjaya di awan biru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUL ANWAR semasa bertugas sebagai seorang juruterbang di sebuah syarikat penerbangan.

TANGGAL 4 Jun akan terus dikenang sebagai satu detik hitam kepada Joel Lance. Pada tarikh tersebut, lelaki berusia 27 tahun itu telah diminta untuk meninggalkan kerjaya impiannya.

Kerjaya di awan biru yang dibina selama hampir tujuh tahun berakhir akibat penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia sejak akhir tahun lalu.

Dia terpaksa mengundurkan diri sebagai pramugara AirAsia X selepas syarikat penerbangan tambang murah negara itu mengambil langkah mengurangkan kakitangannya.

Ini ekoran penurunan permintaan tempahan penerbangan selepas banyak negara di dunia melaksanakan perintah kawalan pergerakan sejak awal tahun ini.

Meskipun berlapang dada menerima takdir, dia yang terpaksa mengambil skim pemberhentian ditawarkan syarikat itu mengakui cukup sedih.

“Siapa tidak sedih, selepas sekian lama berkhidmat sebagai pramugara, akhirnya saya terpaksa meninggalkan kerjaya tersebut dengan cara begini.

“Dunia berdepan pandemik. Demi survival syarikat agar terus bertahan, saya menerima pilihan ini dengan rela hati,” katanya kepada K2.

 

KHAIRUL ANWAR kini bertugas sebagai penghantar makanan.

 

Baru-baru ini media melaporkan lebih 300 pekerja AirAsia Bhd. dihentikan perkhidmatan dalam usaha pengecilan operasi susulan situasi sukar akibat wabak Covid-19.

Pemberhentian yang diumumkan oleh ketua pegawai eksekutifnya, Riad Asmat dalam sesi taklimat dalaman itu membabitkan 111 kru kabin, 172 juruterbang dan 50 jurutera.

Laporan itu menyatakan, syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia X turut melakukan pengurangan tenaga kerja termasuk pekerja asing.

Demi kelangsungan hidup, Lance terpaksa beralih daripada kerjaya sebagai pramugara kepada pelayan restoran di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Selangor.

Lelaki berasal dari Bandar Melaka itu, telah memulakan pekerjaan di cawangan kedua restoran jenama makanan dan minuman dalam penerbangan AirAsia, Santan.

“Saya sangat teruja apabila diterima bekerja dengan salah satu anak syarikat AirAsia itu. Saya gembira masih menjadi sebahagian daripada keluarga besar AirAsia, cuma kini saya bukan lagi bertugas dalam sektor penerbangan,” katanya.

Lance memaklumkan, pada peringkat awal bekerja sebagai pelayan, dia berasa agak janggal kerana suasana dan budaya kerja yang berbeza.

Lama-kelamaan, dia berjaya membiasakan diri dengan mempraktikkan pengalaman kerja sebagai pramugara ketika melayani pelanggan di restoran.

Walaupun telah mempunyai kerjaya baharu, namun Lance sentiasa merindui saat berkerja sebagai pramugara terutamanya ketika bersama rakan-rakan di dalam pesawat, menjelajah tempat baharu dan membeli-belah di luar negara.

Jauh di sudut hati, dia masih menaruh harapan untuk kembali bertugas sebagai pramugara pada suatu hari nanti selepas pandemik Covid-19 berakhir dan industri penerbangan dunia kembali stabil.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pernah memaklumkan, sekurang-kurangnya 25 juta pekerja dalam industri penerbangan global termasuk 11.2 juta di rantau Asia Pasifik berisiko kehilangan kerja.

 

LANCE yang merupakan bekas pramugara kini bekerja sebagai pelayan restoran Santan.
–SHIDDIEQIIN ZON

 

Kebimbangan

Syarikat-syarikat penerbangan dijangka mengalami kemerosotan hasil pada tahun ini dengan pengurangan sebanyak AS$252 bilion (RM1.09 trilion) atau 44 peratus berbanding tahun 2019.

Selain kru pesawat, pekerja sektor sampingan penerbangan turut terjejas seperti kaunter khidmat pelanggan dan petugas bagasi.

Sementara itu, bekas juruterbang sebuah syarikat penerbangan, Khairul Anwar Ajid, 40, turut berkongsi getir perjalanan hidupnya daripada seorang juruterbang kepada penghantar makanan.

Katanya, setelah berkecimpung selama sedekad dalam industri penerbangan, dia akhirnya kehilangan kerja sejak lima bulan lalu selepas syarikatnya bekerja membuang pekerja. Bagaimanapun, lelaki itu yang dihubungi K2 enggan mendedahkan syarikat penerbangan tempat dia bekerja semasa bergelar juruterbang.

Selepas kehilangan kerjayanya, bapa kepada seorang anak itu terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan bagi menampung perbelanjaan harian kerana melihat pekerjaan tersebut paling mudah menjana pendapatan.

“Dahulu sehari terbang, saya boleh mendapat minimum RM600, tetapi sekarang RM50 hingga RM70 sahaja selepas sehari berhempas pulas.

“Memang tidak cukup untuk tampung kehidupan harian, namun inilah rezeki yang diberikan Tuhan kepada keluarga saya ketika ini,” ujarnya.

Khairul Anwar sempat meluahkan kepada K2 kebimbangannya untuk melunaskan bayaran-bayaran pinjaman selepas tempoh moratorium berakhir September ini.

Bukan sahaja pekerja dalam pesawat, tetapi pekerja persediaan penerbangan seperti pekerja khidmat pelanggan juga kehilangan kerja. Seorang pekerja khidmat pelanggan penerbangan, Peanthonneus Suadin, 29, turut terkesan dengan keadaan itu.

Peanthonneus yang bertugas di lapangan Ground Team Red (GTR) AirAsia telah diberhentikan pada pertengahan Jun lalu.

“Saya telah bertugas sebagai pekerja khidmat pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selama dua tahun. Tugas saya membantu penumpang mendaftar masuk bagasi dan mengimbas tiket penerbangan.

“Selepas mengetahui saya adalah salah seorang yang akan dibuang oleh syarikat, saya berusaha mencari pekerjaan lain yang sesuai termasuk menerusi karnival kerjaya dianjurkan AirAsia,” jelasnya.

Hasil daripada menghadiri karnival kerjaya itu, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah turut diterima bekerja sebagai pelayan di restoran Santan.

Peanthonneus sangat bersyukur berjaya mendapat pekerjaan itu di saat ramai orang masih bergelut mencari pekerjaan dalam situasi mencabar ini.

 

LANCE berkhidmat sebagai pramugara AirAsia selama tujuh tahun sebelum diberhentikan Jun lalu.

 

Sementara itu, dalam satu kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya terpaksa mengambil langkah sukar dengan melepaskan beberapa kakitangannya yang sudah lama berkhidmat.

“Ini masa yang sukar dalam tempoh 18 tahun kepada AirAsia, kami terpaksa mengambil langkah dengan melepaskan beberapa kakitangan.

“Sesuatu yang berat untuk kami melepaskan pekerja yang sudah lama berkhidmat. Namun, sasaran kami adalah memastikan kakitangan itu mendapat pekerjaan semula termasuk dengan memberi latihan kepada mereka,” ujar kenyataan tersebut.

Tanggungjawab itu digalas oleh jenama makanan dan minuman dalam penerbangan AirAsia, Santan yang memberi peluang kepada bekas pekerja sektor penerbangan itu untuk bekerja di restorannya.

Pengurus Besar Santan, Catherine Goh berkata, dalam ekonomi yang mencabar ketika ini, Santan mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk bekas kakitangan industri penerbangan.

“Misalnya, di cawangan baharu Santan di Sunway Pyramid ini, semua pekerja yang diambil bekerja terdiri daripada bekas kakitangan penerbangan AirAsia.

“Buat masa ini, kami menggaji tujuh pekerja yang terdiri daripada kru kabin dan perkhidmatan pelanggan bekerja sebagai pelayan. Mereka diberhentikan akibat Covid-19,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI