fbpx

Kementerian Kewangan senaraikan 101 projek rundingan terus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan hari ini menyenaraikan 101 perolehan kerajaan secara rundingan terus (RT) bernilai RM6.61 bilion yang dilaksanakan pada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Berdasarkan senarai diberikan, Kementerian Pengangkutan mendahului senarai tertinggi dengan empat projek bernilai RM4.47 bilion diikuti Kementerian Pertahanan (RM900 juta) dengan enam projek, lapan projek di bawah Kementerian Dalam Negeri (RM517.68 juta), 12 projek di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (RM380.12 juta) dan dua projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM170.79 juta).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, beberapa hari yang lalu, terdapat permintaan dibangkitkan berkaitan perkongsian senarai 101 maklumat projek yang telah diluluskan melalui proses RT ini.

Beliau berkata, atas dasar mendokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran maka, senarai tersebut disertakan.

“Merujuk kepada soalan mengenai perolehan kerajaan secara RT ketika pemerintahan kerajaan terdahulu, saya telah menjawab di Parlimen pada 24 Ogos lalu semasa ucapan penggulungan Rang Undang-undang Pembiayaan Kerajaan (Covid-19) 2020, bahawa perolehan secara RT dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).

“Ini adalah berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972) dan pekeliling-pekeliling perbendaharaan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, RT dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah satu atau lebih daripada syarat-syarat yang ditetapkan termasuk
perolehan bekalan dan perkhidmatan membabitkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara.

Selain itu, katanya, syarat lain termasuk keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang diperoleh dan satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI