fbpx

Kanak-kanak maut motosikal ditunggang sepupu langgar belakang lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak perempuan maut selepas motosikal ditunggang sepupu melanggar sebuah lori yang berhenti di tepi jalan kerana asap tebal pembakaran jerami padi di Jalan Kampung Parit Haji Taib 2, Bagan Serai hari ini.

BAGAN SERAI – Berpunca daripada asap tebal akibat pembakaran jerami, seorang kanak-kanak perempuan maut selepas motosikal ditunggang sepupu bersama ibu dan adiknya melanggar belakang sebuah lori di Jalan Kampung Parit Haji Taib 2 di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 3 petang itu, mangsa, Auni Marissa Norman, 6, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Kemalangan tersebut turut menyebabkan sepupu mangsa yang berusia 21 tahun itu cedera parah di kepala serta patah bahu kiri.

Difahamkan, sepupu dan ibu serta adiknya baru sahaja mengambil mangsa dari tadika berdekatan dan mereka berempat sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan dan motosikal jenis Yamaha 135LC tersebut sedang dalam perjalanan ke arah Jalan Ipoh-Butterworth.

“Tiba di lokasi kejadian, lori dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun itu memberhentikan kenderaannya selepas melihat sebuah lori lain berada di hadapannya.

“Motosikal ditunggang empat sekeluarga ketika itu sedang berada di belakang lori berkenaan pula hilang kawalan disebabkan asap tebal berpunca daripada kebakaran jerami padi di tepi jalan lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Omar Bakhtiar, akibat rempuhan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tiga yang lain mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.

“Sepupu mangsa pula dirawat di Hospital Taiping manakala ibunya yang berusia 34 tahun serta adiknya yang berusia sembilan bulan pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI