fbpx
SAKSI ketiga Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd. Nor Marzukee Besar (kanan) berjalan masuk ke prosiding inkues kematian Nora Anne di Mahkamah Koroner Seremban di Seremban hari ini.

Inkues Nora Anne diteruskan hari kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh NOR SHAFAWATI YUP dan AFIFI HAFIZ MOHD NOR

SEREMBAN – Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin memasuki hari kedua di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd. Nor Marzukee Besar menjadi saksi ketiga yang dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan Koroner, Maimoonah Aid.

Sewaktu memberikan keterangan pagi ini, Mohd. Nor Marzukee memaklumkan, pihaknya telah membuat pemeriksaan di tiga buah rumah berhampiran kawasan resort The Dusun tempat mangsa dan keluarganya menginap sebelum Nora Anne dilaporkan hilang.

Beliau turut memberitahu, pemeriksaan tiga buah rumah itu adalah atas permintaan keluarga selepas mereka mengesyaki Nora Anne diculik.

“Keluarga mengesyaki anaknya (Nora Anne) di bawa keluar dari resort dan diculik seseorang, banyak soalan daripada mereka ketika itu dan saya menganggap mereka berada dalam keresahan,” katanya.

Tambah Mohd. Nor Marzukee, pihaknya turut melakukan dua sekatan jalan raya di dua laluan keluar berhampiran Balai Polis Pantai berasaskan kemungkinan Nora Anne yang dikatakan mempunyai pemikiran seperti kanak-kanak berumur tujuh tahun berjalan di tepi jalan atau menumpang kenderaan orang awam.

Prosiding inkues bagi mencari punca kematian Nora Anne itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad.

Nora Anne, 15, yang juga merupakan anak istimewa bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.

Dia kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Inkues tersebut dijadualkan berjalan selama dua minggu dan dijangka seramai 64 saksi utama akan dipanggil memberikan keterangan. – K! ONLINE

POPULAR