fbpx

[VIDEO] Kesihatan Mufti Perak semakin baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harussani

IPOH – Keadaan kesihatan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kini bertambah baik selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital KPJ di sini hari ini.

Doktor Pakar Perubatan dan Neurologi KPJ Ipoh, Datuk Dr. Zakaria A. Kadir berkata, kesihatan Harussani, 81, semakin baik sejak dimasukkan ke ICU pukul 9 pagi semalam dan mula menunjukkan perkembangan yang baik dari masa ke masa.

“Keadaan beliau agak teruk semasa dibawa ke hospital selepas diserang strok di bahagian kanan badan. Bagaimanapun beliau mula menunjukkan respon yang baik sejak petang semalam apabila boleh menjawab soalan-soalan mudah.

“Keadaan beliau hari ini juga semakin baik dan bertambah responsif berbanding semalam. Kita akan pantau keadaan beliau di dalam ICU dalam masa dua atau tiga hari lagi dan jika keadaan bertambah baik, beliau akan dipindahkan ke wad biasa,” katanya pada sidang akhbar di Hospital KPJ Ipoh di sini hari ini.

Tambah Zakaria, selepas dipindahkan ke wad biasa, Mufti Perak itu akan menjalani rawatan fisioterapi bagi memulihkan anggota badannya.

“Jika keadannya semakin baik, kita akan terus pantau selama seminggu untuk proses rehabilatasi.

“Namun untuk pulih sepenuhnya, ia akan mengambil masa yang panjang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd. Akmal Kamarudin bersyukur apabila keadaan tokoh agama itu bertambah baik selepas melawatnya hari ini.

“Kita bersyukur dengan perkembangan baik ini. Beliau sudah boleh respon apabila kita bercakap dengannya dan ada ketikanya beliau menunjukkan respon sebak.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita sedihlah dengan keadaan beliau dan sama-samalah kita mendoakan agar beliau pulih seperti sedia kala memandangkan khidmat baktinya masih diperlukan dan jasanya juga sangat besar kepada ummah,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan pekeliling kepada semua masjid di Perak untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin untuk mendoakan kesihatan Harussani bertambah baik dan dipermudahkan segala urusannya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, keadaan Mufti Perak dipantau rapi selepas dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini setelah terkena serangan strok.

Harussani, 81, dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 sehingga kini.

Belian turut memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun pusat termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI