fbpx

K2

MEMANCING hobi mendatangkan pendapatan lumayan bagi Marzuki.

Penangan pari 45 kilogram di Tukun Bot Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA jam bertarung sengit, akhirnya seekor pari seberat 45 kilogram (kg) menyerah kalah di tangan seorang pemancing yang bergantung hidup dengan hasil laut.

Itu antara rutin yang dilalui pemancing, Marzuki Hassan, 51, yang menjadikan kawasan dikenali sebagai Tukun Bot Vietnam berada di perairan Kelantan sebagai lokasi (port) tetap apabila keluar menangkap ikan saban hari.

Menurutnya yang tinggal di pesisir Sungai Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, jarak lokasi memancing itu sejauh 18 batu nautika dari Kuala Tok Bali.

Katanya, dia tidak berseorangan ketika keluar memancing di lubuk berkenaan dan sering ditemani seorang rakan, Mohd. Halim Hussin, 35.

“Bukan mudah untuk mendaratkan ikan pari ‘segagah’ dan seberat itu, ditambah pula dengan tabiatnya yang gemar melekat di kawasan dasar laut dalam apabila termakan umpan pemancing.

“Lagipun bukan setiap hari kita dapat menjinakkan ikan seberat 45kg,” katanya ketika ditemui di jeti Kuala Tok Bali baru-baru ini.

 

PARI betina seberat 45 kg berjaya didaratkan Marzuki Hassan menggunakan umpan sotong hidup.

 

Marzuki yang menganggap Tukun Bot Vietnam sebagai lubuk yang sentiasa memberi tuah kepadanya selama ini berkata, apa yang membuatkan dia dan rakan sentiasa mengunjungi kawasan itu adalah keseronokan ‘bermain’ dengan sentapan mata kail setiap kali ikan memakan umpan.

Ujarnya, sentapan ikan di mata pancing terutamanya pari besar di sekitar lokasi berkenaan sering menguji keupayaannya untuk menjinakkan ikan tersebut.

Keadaan itu membuatkan Marzuki ‘ketagih’ untuk bermain tali dengan ikan daripada keluarga dasyatidae itu dengan keunikannya memiliki duri beracun di pangkal ekornya.

“Saya memiliki sebuah bot fiber dan menjadikan hobi memancing sebagai kerjaya untuk menjana pendapatan.

“Biasanya, kami turun selepas subuh dan kembali semula ke jeti Kuala Tok Bali sekitar pukul 5 petang.

“Sekiranya gagal mengumpan ikan pari, kami mencuba ikan tenggiri menggunakan umpan sotong hidup atau umpan jig,” katanya.

Menurutnya lagi, selain pari, spesies ikan lain yang terdapat di kawasan tukun itu adalah jenahak, kerapu, cupak, ibu gelama, merah, kaci, ebek dan kerapu pisang.

Ujarnya, kesemua ikan yang dikategorikan sebagai gred A ini sesuai dipancing pada waktu malam kerana gemar bermain di permukaan pada waktu berkenaan.

Katanya, sekiranya dia mahu mengail ikan tersebut yang boleh dijual pada harga tinggi, saya akan bertolak lewat petang dan pulang ke pangkalan sebelum subuh.

 

SEBAHAGIAN ikan pari yang diperoleh di sekitar lokasi Tukun Bot Vietnam di perairan Kelantan baru-baru ini.

 

“Bagi saya, ikan lain tidak begitu mencabar berbanding pari jika termakan umpan. Ia tidak menyambar umpan, sebaliknya menyedut menggunakan mulutnya sebelum membawa lari ke dasar,” ujarnya.

Menurut Marzuki, petua untuk mendapatkan ikan pari bersaiz besar banyak bergantung kepada penggunaan umpan.

“Saya gunakan umpan sotong hidup yang dipancing menggunakan umpan udang hidup,” katanya.

Joran yang digunakan Marzuki ketika memancing adalah Peenoor IFN 800 Plus, Gear bearing ball ratio 4.9.1 dengan kulit aluminium, manakala batang joran juga daripada jenis yang sama.

Tambahnya, sebagai seorang pemancing di laut, dia berpuas hati dengan memperoleh pendapatan yang agak berpatutan pada masa ini.

“Jika mendapat hasil tangkapan ikan gred A yang banyak pada satu-satu masa, maka banyaklah pendapatan pada hari tersebut.

“Kebiasaannya buat masa sekarang, hasil yang diperoleh boleh dikatakan berbaloi dengan modal yang dikeluarkan setiap kali keluar ke laut,” ujarnya.

POPULAR

BERITA BERKAITAN