fbpx
BAGI Che Jamilah, memberikan jawapan yang tepat semasa temu duga menjadi asas kejayaan calon mendapat pekerjaan.

Che Jamilah bimbing persediaan temu duga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA dah letih pergi temu duga. Satu pun tak ‘sangkut’ (dapat).

“Saya dah pergi berpuluh-puluh temu duga. Semua diam sahaja selepas itu.”

Demikianlah antara keluhan yang sering didengari oleh Che Jamilah Mohamed, 56, dalam kalangan anak-anak muda yang mencari pekerjaan.

Pengasas PBT Consultants Sdn. Bhd., sebuah syarikat mengendalikan latihan kemahiran kepada warga pekerja itu mengakui, kebanyakan anak muda tidak bersedia dan kurang kemahiran memasarkan diri mereka sewaktu sesi temu duga diadakan.

“Ada calon yang bagus dalam pencapaian PNGK (Purata Nilai Gred Keseluruhan) di universiti, namun masih gagal dalam sesi temu duga.

“Sebaliknya, ada calon-calon yang PNGK mereka biasa-biasa sahaja dipilih kerana memberi jawapan tepat dan yakin serta lancar komunikasinya sewaktu proses temu duga,” katanya kepada Aura.

Menurutnya, sepanjang hampir 20 tahun penglibatannya dalam bidang pembangunan kemahiran insaniah, dia telah menemu ramah dan menemui beratus calon yang tinggi kelulusan akademiknya, rajin bekerja dan mempunyai banyak kekuatan, namun masih gagal temu duga.

Jelasnya, ini kerana mereka kurang kemahiran memasarkan diri.

Panel penemu duga

Menyedari kesukaran calon-calon yang menghadiri sesi temu duga itu telah mendorong Che Jamilah berkongsi kepakaran dan pengalamannya dengan menerbitkan buku berjudul Menjadi Calon Terpilih Semasa Temuduga.

Dia mengambil keputusan untuk menerbitkan buku tersebut bagi membantu calon-calon mendapatkan tip penting sebelum menghadiri temu duga.

Kebanjiran graduan dan tenaga kerja serta teknologi baharu telah menjadikan persaingan dalam dunia pekerjaan semakin sengit.

Tanpa panduan yang betul, calon-calon mungkin ketinggalan.

Che Jamilah berkata, tidak banyak buku berkaitan temu duga yang diterbitkan dalam edisi bahasa Melayu.

“Ini adalah satu inisiatif saya untuk membantu anak-anak bangsa yang sering terkandas dalam temu duga. Mereka boleh belajar dan mengetahui kesilapan yang mungkin mereka lakukan tanpa disedari.

“Sebagai contoh, setiap persoalan yang diajukan oleh penemu duga ada maksud tersurat dan tersirat. Dari situ, penemu duga sudah boleh mengetahui akan keperibadian seseorang calon,” katanya lagi.

Sementara itu, Che Jamilah menegaskan, sepanjang dua dekad terlibat dalam pengendalian latihan kemahiran warga kerja, dia banyak menerima undangan daripada syarikat terkemuka yang menggunakan khidmatnya menjadi panel penemu duga.

“Saya juga melihat ada jurang besar antara calon bumiputera dengan kaum lain terutamanya dari segi penguasaan bahasa Inggeris.

“Calon-calon harus berhati-hati dalam menjawab setiap soalan yang diajukan kepada mereka. Jangan jadikan soalan atau jawapan itu menjadi penyebab anda gagal dalam sesi temu duga,” katanya sambil memberitahu buku berharga RM29 itu boleh didapati di kedai-kedai buku.

Menyentuh mengenai kerjayanya, Che Jamilah sesekali tidak menyesal meninggalkan pekerjaan terdahulunya sebagai pensyarah dalam bidang fizik dan beralih arah menjadi konsultan untuk meningkatkan kemahiran insaniah warga kerja.

Che Jamilah yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan meraih Ijazah Sarjana Muda Fizik dari Universiti of Tennessee, Amerika Syarikat (AS) sebelum menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang sama di Universiti Stephen F. Austin State, AS.

Setelah tamat pengajian, dia menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selama lima tahun, sebelum meletakkan jawatan untuk menyertai sektor korporat dengan mengetuai Akademi Amal. Akademi tersebut berfungsi memilih dan melatih mereka yang terlibat dalam bidang perancang kewangan.

Namun, pada tahun 2001, Che Jamilah berhenti daripada mengetuai akademi tersebut lalu membuka syarikat khidmat nasihat sendiri berkaitan kemahiran insaniah pekerja.

“Walaupun latar belakang saya adalah dalam bidang fizik, tetapi minat saya lebih kepada sains tingkah laku.

“Saya banyak membaca buku berkaitan sains tingkah laku untuk mendalami ilmu itu sebelum mengambil keputusan membuka syarikat konsultan sendiri,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Sepanjang menjadi konsultan dalam meningkatkan kemahiran insaniah warga kerja, banyak syarikat yang telah menggunakan khidmatnya.

Antaranya termasuklah AirAsia, Standard Chartered dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Dari situ, sedikit sebanyak Che Jamilah dapat mengetahui kehendak sesebuah syarikat untuk mengambil tenaga kerja yang bersesuaian dengan pasaran pekerjaan.

BERITA BERKAITAN