fbpx

86 ditahan ingkar PKPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 86 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 77 individu telah dikompaun manakala sembilan individu pula direman.

“Sebanyak 2,484 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,435 anggota telah membuat pemantauan di 3,809 pasar raya, 5,054 restoran serta 1,340 penjaja, 1,209 kilang, 3,742 bank dan 674 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 1,110 terminal pengangkutan darat, 203 terminal pengangkutan air serta 98 terminal pengangkutan udara,” katanya melalui satu kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, sebanyak dua lagi warga asing ditahan kerana kesalahan imigresen menerusi Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Katanya, sebanyak 63 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng dilakukan di seluruh negara semalam dan 32,279 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Dalam pada itu, kata Ismail Sabri, PDRM telah mengadakan 327 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua individu yang dikuarantin telah mematuhi SOP yang ditetapkan.

“PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” ujarnya.

Menerusi kenyataan itu, Ismail Sabri memaklumkan, 1,103 pemeriksaan khas dilakukan pegawai KPDNHEP semalam
dan mendapati 1,089 premis mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Sebanyak 13 premis diberi nasihat dan satu premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” ujarnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI