fbpx

Apabila cerita tular menjadi kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTWAN EKSEKUTIF, NUZULSHAM SAMSUDDIN

 

Sungai Buloh begitu mendapat perhatian netizen apabila satu pendedahan berani dibuat oleh pengasas Hot Burger Malaysia, Asri Janggut.

Asri Janggut atau nama sebenarnya Mohd. Asri Hamid menerusi video siaran langsung mendedahkan lokasi kaki judi bermain mesin kuda termasuk isu peniaga warga asing yang menjalankan aktiviti menjual rokok seludup.

Kawasan yang ditularkan me­lalui laman sosial Facebook Asri Janggut itu telah memberi tamparan hebat sehingga Ketua Polis Daerah Sungai Buloh termasuk anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turun padang untuk melihat situasi sebenar.

Tidak keterlaluan penulis mengatakan ketika berita ini di­tulis, kisah Sungai Buloh ini masih lagi menjadi topik hangat di kedai-kedai kopi.

Ironinya, impak kepada isu ini yang tular di media sosial telah mencetuskan polemik dalam kalangan netizen yang masing-masing mengeluarkan pendapat dalam pelbagai medium melalui keyboard warriors mereka.

Pakar Isu Sosial yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sab­ran berkata, tidak dinafikan media sosial sudah menjadi trend masyarakat berlumba-lumba berkongsi maklumat sehingga ada yang memandang enteng kesahihan dan kesan buruknya.

“Namun, perlu diingat setiap perkara yang disebarkan sudah tentu memberi kesan sama ada pada diri sendiri atau sesiapa sahaja. Kesan tular itu jika tidak betul, boleh menjadi rekaan atau fitnah,” katanya kepada Kosmo!.

Mengulas mengenai kes Asri Janggut, semasa video dirakam, lelaki itu ada mengatakan mungkin akan dibunuh dan itu adalah salah satu contoh kesan yang tidak baik yang menyebabkan si penular terpaksa hidup dalam ketakutan.

Begitupun, Mohammad Shatar tidak menafikan di sebalik kesan negatif itu, ada positif yang boleh diambil kira apabila kes itu menjadi perhatian Ketua Polis Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ujarnya, selain Asri Janggut, contoh isu tular lain yang berbangkit ialah ‘mak cik gelang pink’ yang mana wanita warga emas itu telah ditularkan oleh seorang individu tidak dikenali yang sedang makan di sebuah restoran.

Kes itu kemudian menjadi perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana telah melanggar prosedur operasi standard.

Wanita berusia 72 tahun itu kini sudah pun menerima hukuman apabila dipenjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh baru-baru ini.

“Apa yang dilihat dalam kes ini (mak cik gelang pink) kesannya menyebabkan mana-mana individu yang memakai gelang pink (kuarantin) begitu takut untuk merayau-rayau ekoran bimbang gambar akan dirakam dan ditularkan,” katanya.

Mohammad Shatar berpendapat, antara tular yang perlu dikongsi ialah menjejaki si pelaku jenayah seperti kemalangan langgar lari, kes-kes samun atau penyeksaan terhadap binatang yang akhirnya dapat membantu pihak berkuasa.

“Contoh tular yang membawa kepada penyelesaian ialah kes penyeksaan kucing betina bun­ting di sebuah kedai dobi dua ta­hun lalu sehingga membawa ke­pada penangkapan suspek,” katanya.

Justeru, beliau berharap netizen dapat belajar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab dalam menularkan sesuatu kerana impaknya begitu besar bukan setakat dalam negara, malah seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI