fbpx

Kedah tidak syor PKPD Temco seluruh negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Sanusi (dua dari kiri) bersama 11 asnaf yang menerima sumbangan Bank Rakyat berjumlah RM97,000 di Hotel Sik Inn di Sik hari ini.

SIK – Kerajaan Negeri Kedah menolak kemungkinan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di seluruh negeri itu susulan penularan Covid-19 bagi empat kluster di enam daerah negeri tersebut.

Empat kluster berkenaan adalah Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Muda dan Kluster Sala yang meliputi daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Baling, Kuala Muda dan Yan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pelaksanaan PKPD Temco bagi seluruh negeri tidak termasuk dalam senarai syor yang akan dicadangkan kerajaan negeri kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Syor-syor berhubung tindakan dalam menangani Covid-19 ini termasuk PKPD Temco akan dikemukakan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri dan pihak MKN di Wisma Darul Aman di Alor Setar malam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Bank Rakyat berjumlah RM97,000 bagi program baik pulih rumah kepada 11 asnaf di Hotel Sik Inn di sini hari ini.

Kata Muhammad Sanusi, keputusan berhubung sebarang pelaksaan PKPD Temco di kawasan lain selain di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap hanya akan diputuskan MKN seterusnya diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita tidak mempunyai kuasa untuk mengumumkan PKPD Temco dan apa sahaja arahan akan dikeluarkan MKN dan ia mungkin dibuat berdasarkan jumlah kes di kawasan terlibat,” ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya memahami kesukaran dialami penduduk, namun PKPD Temco perlu dilaksanakan untuk keselamatan semua.

“Kita akui ekonomi di kawasan dilaksanakan PKPD Temco seperti di Napoh terjejas teruk apabila perniagaan terpaksa ditutup dan penduduk yang dikuarantin tidak dibenarkan bekerja,” jelasnya.

Muhammad Sanusi pada masa sama menasihatkan penduduk dalam kawasan kluster yang belum diumumkan PKPD Temco agar menangguhkan kenduri, keramaian dan sebarang perhimpunan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik dan kebimbangan dalam kalangan penduduk,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI