fbpx

Bagi Inspektor rasuah, dua beradik didenda RM20, 000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chee Wei dan kakaknya, Choy Shun, dibawa keluar dari mahkamah selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan memberi suatu suapan kepada seorang Inspektor pada julai tahun lalu.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Padah memberi suapan sebanyak RM4, 500 kepada seorang Inspektor, dua beradik didenda RM20, 000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Wong Chee Wei, 42, dan kakaknya, Wong Choy Shun, 43, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara bersama-sama telah memberi suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM4, 500 kepada seorang Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Tindakan itu sebagai dorongan untuk tidak menjalankan tindakan undang-undang ke atas Chee Wei atas kesalahan memiliki peralatan polis tanpa kebenaran mengikut Seksyen 89(a) Akta Polis 1967.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira- kira pukul 4 petang di Balai Polis Melaka Tengah, pada 23 Julai 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kesalahan tersebut telah dilakukan tertuduh di bilik trial bersaksikan lapan orang saksi di tempat kejadian di mana enam daripada adalah anggota polis di balai terbabit dan dua orang awam.

Terdahulu, Peguam Vinson Tay dan Gan Seong Kim yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guam mereka telah insaf selain ia merupakan kesalahan pertama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan faktor kepentingan awam.

Irwan turut memohon kepada mahkamah supaya wang tunai RM4, 500 dilucut hak kepada kerajaan.

Selepas mendengar hujah kedua pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10, 000 dan penjara sehari bagi setiap tertuduh atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Kedua-dua mereka kemudian membayar denda keseluruhan sebanyak RM20, 000 itu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI