fbpx

K2

Atmosfera jambatan tertinggi dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAMBATAN Beipanjiang yang berangka setinggi 562 meter dinobatkan sebagai jambatan tertinggi di dunia.- AFP

DI sebalik kabus yang memutih, kelihatan sebuah jambatan tergantung di atas pergunungan yang menghubungkan dua wilayah iaitu Yunnan dan Guizhou di bahagian barat daya China.

Jambatan Beipanjiang setinggi 562 meter (m) yang dinobatkan sebagai jambatan tertinggi dunia itu menjadi sebahagian daripada Lebuh Raya Hangzhou-Ruili G56 yang menghubungkan daerah Quijing dan Luipanshui.

Beipanjiang atau juga dikenali sebagai jambatan Duge Beipanjiang diambil sempena nama Sungai Beipan yang mengalir di bawahnya.

Jambatan yang dibangunkan di atas Sungai Beipan itu mempunyai kepanjangan 1.3 kilometer dan kelebaran 28 m. Ia melintasi sungai yang menyempadani wilayah Yunnan dan Guizhou.

Jambatan itu juga penting kerana membolehkan orang ramai di bandar utama Xuanwei di Yunnan dan Shuicheng di Guizhou saling berhubungan.

Jambatan Beipanjiang yang mula dibuka sejak 2016 itu mengukir senyuman penduduk sekitar apabila dapat memendekkan perjalanan antara dua tempat kira-kira sejam berbanding empat jam sebelum ini.

“Memandu di atas jambatan Beipanjiang seolah-olah berada di atas awan,” kongsi seorang pengguna twitter yang dikenali sebagai Lingling Chen baru-baru ini.

Kehebatan negara Tembok Besar itu dalam menghasilkan jambatan-jambatan yang hebat dan mengagumkan diakui dan dikagumi oleh mana-mana pakar kejuruteraan di dunia. Disebabkan itulah khidmat China sering ditagih dalam pembinaan jambatan di negara-negara lain.

Hakikatnya, sebanyak 67 peratus bentuk muka bumi di China terdiri daripada bukit, gunung dan dataran tinggi, terutamanya di bahagian Selatan China yang sebahagian besarnya dikelilingi gunung-ganang.

China juga mempunyai kira-kira 1,500 sungai. Peningkatan pembinaan jambatan di negara tersebut turut berkemungkinan besar dipacu oleh pepatah lama China sejak 70 tahun lalu yang berbunyi:

“Apabila berdepan dengan gunung, buatlah jalan. Apabila dihalangi oleh sungai, binalah jambatan.”
Mungkin itu memberikan jawapan mengapa China begitu terkehadapan dalam pembinaan jambatan sehingga daripada 100 jambatan hebat atau tertinggi di dunia, 80 peratus adalah di China.

JAMBATAN ini membuktikan kehebatan China dalam teknologi pembinaan jambatan.- AFP

Pembinaan jambatan Beipanjiang bermula pada Oktober 2010 dan siap pada 10 September 2016, manakala pembukaannya untuk lalu lintas bermula pada Disember 2016.

Menurut pakar dalam bidang kejuruteraan jambatan besar dan tinggi, Eric Sakowski dari Amerika Syarikat, jambatan Beipanjiang yang menjadi lebuh raya itu mencabar batas kemampuan komuniti kejuruteraan jambatan.

Tidak ada wilayah di bumi ini yang memiliki jambatan tertinggi seperti Beipanjing yang terletak di wilayah terpencil Guizhou yang begitu terkenal dengan kesulitan perhubungan sebelum ini.

Menariknya, sebanyak lapan daripada 10 jambatan tertinggi dunia yang telah dibina di China, lima daripadanya dibina di Guizhou.

Sakowski sering mengunjungi ratusan jambatan di seluruh dunia, namun paling banyak menghabiskan sebahagian besar waktunya untuk mengunjungi jambatan-jambatan di China dengan mendokumentasikannya melalui fotografi.

“Reka bentuk dan gabungan kejuruteraan telah menghasilkan jambatan yang sangat menakjubkan seolah-olah kelihatan berterbangan di atas awan dan pergunungan,” tuturnya lagi.

Sebab utama jambatan itu dibina begitu tinggi adalah kerana kawasan tersebut dikelilingi gunung-ganang yang dilapisi batu kapur yang rapuh dan longgar.

Sehubungan itu, para pereka jambatan terpaksa menaikkan ketinggian binaan itu sehingga 562m di atas gaung bagi memastikannya benar-benar kukuh dalam persekitaran yang selamat.

Turut dipasang dermaga utama di kedua-dua sisi jambatan yang masing-masing berukuran 269m dan 247m.

Pastinya kos untuk membina jambatan hebat itu bukan sedikit kerana menelan belanja sebanyak AS$140 juta (RM597 juta).

Sejak tahun 2015 sehingga 2020, kerajaan China telah melabur melebihi 15 trilion yuan yang sebahagian besarnya dikhaskan untuk pembinaan jambatan.

Kegigihan China untuk menghasilkan jambatan-jambatan hebat tidak pernah luntur meskipun pandemik Covid-19 yang melanda dunia apabila pada tahun ini, wilayah Guizhou dijangka mempunyai lebih 250 jambatan setinggi 100 meter.

Sementara itu, Profesor Emeritus kejuruteraan awam di University of Bristol, David Blockley berkata, jambatan Beipanjiang adalah salah satu daripada sejumlah besar projek kejuruteraan awam yang mengubah landskap China.

“Jambatan itu bukan sahaja infrastruktur yang menyatukan komuniti tetapi juga membawa pengunjung luar serta pedagang ke kawasan yang sebelum ini begitu asing.

“Jambatan ini juga merupakan simbol kekuatan kewangan China dan kedudukannya di dunia,” terangnya yang juga merupakan pengarang buku mengenai kejuruteraan struktur dan pembinaan jambatan.

Blockey berkata, setiap jambatan menceritakan sebuah kisah dan untuk memahaminya anda perlu membacanya seperti sebuah buku.

Blockey berkata, kehebatan China harus diakui kerana merancang struktur seperti jambatan Beipanjiang tentunya lebih rumit dengan berjuta-juta pengiraan diperlukan untuk memastikan struktur selamat dan terjamin.

Dalam pada itu, pakar jambatan China, Mao Yisheng mengatakan bahawa daripada pembinaan jambatan kita dapat melihat kemakmuran, kemajuan industri dan perdagangan serta tahap teknologi sesebuah negara.

“Oleh itu, menelusuri sejarah pembinaan jambatan seluruh negara, kita dapat melihat keseluruhan aspek di negara tersebut meliputi politik, ekonomi dan saintifik.

“Di sini kita lihat bahawa jambatan yang dibina di China adalah berasaskan teknologi abad ke-21,” jelasnya.

PEMBINAAN jambatan Beipanjiang bermula pada Oktober 2010 dan siap pada September 2016.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI