fbpx

K2

Pasta Melayu tarikan Kopimeo X La Carne

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENU pasta yang dihidangkan bersama gulai lemak mendapat sambutan daripada pelanggan. – MOHD FARIZWAN HASBULLAH

KEBIASAANNYA pasta dimasak bersama puri tomato, krim keju, aglio olio atau afredo, namun berlainan pula dengan sajian di Kopimeo X La Carne menampilkan bahan utama masakan Melayu iaitu santan.

Cecair yang terhasil dari parutan isi kelapa itu digunakan pemilik kafe tersebut, Ili Bazlina Razmi, 37, dalam mengolah makanan Itali itu menjadi pasta gulai lemak yang dihidangkan bersama udang.

“Saya amat menyukai rasa pedas berbanding terlampau berkrim yang akan membuat rasa muak. Lagipun, gulai lemak ini antara masakan yang kerap dimasak untuk sajian di rumah.

“Tambahan, masa mula-mula membuka kafe ini, saya melihat kebanyakan kedai makanan ala Barat di Shah Alam masih mengekalkan identiti asal pasta dan saya mahu mencari kelainan.

“Saya tidak mahu tangkap muat sahaja sebab biarpun ada kelainan, jika rasa pasta itu enak, ia mampu diterima pelanggan. Justeru, proses pembangunan menu dilakukan sebanyak 10 kali dengan keluarga dan rakan-rakan menjadi antara ‘mangsa’ bagi mendapat maklum balas hidangan tersebut,” kata bekas pereka multimedia itu.

Anak kedua daripada empat beradik itu tidak menyangka menu terawal itu berjaya menambat hati para pelanggannya sehingga kini sejak kafe tersebut dibuka pada tahun 2018 bersama suaminya, Meor Azlan Che Saffry, 41.

Jelas Bazlina, menu tersebut dihidangkan dalam dua bentuk sama ada berkuah atau kering mengikut selera pelanggan.

“Demi mencipta kelainan dari masakan Barat, saya turut memasukkan menu pasta ikan masin tenggiri yang diinspirasi dan mendapat bimbingan menu kulinari tersebut daripada ayah, Razmi Chik, 70.

“Ayah dahulu pernah tinggal di kawasan berdekatan laut di Tasmania, Australia yang mana penduduknya membuat ikan masin. Daripada situ, saya mendapat idea untuk membuat pasta ikan masin. Saya mengubah suai dengan menggabungkan bersama sotong, herba tempatan, tunas bunga dan keju parmesan yang dimasak bersama cili padi,” ujarnya.

 

SETIAP pelanggan yang datang menjamu selera di Kopimeo X La Carne pasti berpuas hati dengan menu yang disajikan, tambahan pula harganya berpatutan.

 

Gaya santai

Kafe yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam dan mampu memuatkan 50 pelanggan itu menampilkan dekorasi warna putih polos dalam membangkitkan ilusi ruang makan lebih luas dan lapang.

Ini dilengkapkan dengan lampu gantung atau pendant menjadikan sudut ruangnya ringkas sesuai untuk mereka yang gemarkan gaya santai.

Kehadiran tumbuhan hijau yang digantung antara dinding seolah-olah memberikan pengudaraan segar tampak serasi, di samping meja makan berwarna coklat.

Selain itu, gitar yang digantung pada sebelah dinding pintu masuk premis itu secara tidak langsung memberikan gaya hipster kepada kafe tersebut.

“Kopimeo dan La Carne adalah dua kafe berbeza yang berada selang antara satu premis. Kewujudan Kopimeo adalah lebih awal pada tahun 2015 dan diusahakan oleh suami bagi menarik penggemar kopi.

“Manakala, La Carne bermaksud daging menekankan konsep western tradisional yang beroperasi dua tahun kemudian dan dikelolakan oleh saya.

“Bagaimanapun, kedua-dua kafe ini kemudian digabungkan pada tahun lalu atas tujuan penjimatan kos operasi,” ujar Bazlina.

Dalam memastikan kelestarian kafe tersebut, lebih 60 menu termasuk minuman disediakan oleh Bazlina.

Antara menu yang unik termasuk Peruvian Grilled Chicken.

Ia adalah sajian popular dalam kalangan masyarakat Peru dan menjadi antara menu paling laris di restoran ini.

“Kepedasan hidangan tersebut amat dekat dengan tekak orang Melayu di negara ini.

“Kita tidak tahu selama ini orang Peru sebenarnya makan hidangan yang ada jintan manis dan cili padi sebelum ini,” katanya.

Di samping itu, empat menu pilihan kanak-kanak disediakan kafe tersebut berdasarkan pengalaman Bazlina sendiri dalam melayan ragam tiga orang anaknya berusia antara lima hingga 12 tahun, terutamanya ketika makan di luar.

Menu tersebut diberi nama I Don’t Know What To Eat, I Am Not Hungry, I Don’t Care dan Whatever yang merupakan kosa ayat selalu didengari ketika memesan makanan.

“Hidangan I Don’t Know What To Eat adalah ayam dan kentang, manakala I Am Not Hungry berupa sandwic keju dan kentang goreng.

“I Don’t Care dan Whatever pula masing-masing merupakan hidangan pasta iaitu sos bolognese serta keju parmesan dan kepingan ayam,” jelasnya lagi.

Ditebak soalan berkaitan harga, Bazlina menegaskan, harga menu di kafe itu berpatutan.

Orang ramai yang sibuk bekerja boleh menempah hidangan menerusi aplikasi pesanan Grab Food, Food Panda dan Beep Eat.

“Selain itu, kita turut menerima tempahan untuk majlis-majlis tertentu termasuk hari jadi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI