fbpx

Bekas jurutera KTMB didakwa lapan tuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. AMIN MUHAMMAD N HUSHAIMI (tengah) diiringi pegawai SPRM ketika didakwa di Mahkamah Seksyen Seremban, hari ini. FOTO SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI.

Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI

SEREMBAN: Seorang bekas jurutera awam Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas lapan tuduhan rasuah berjumlah RM72,200.

Ia membabitkan tiga projek stesen transit aliran ringan (LRT) dan komuter lima tahun lalu.

Mohd. Amin Muhammad N Hushaimi, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Amin menerima wang berjumlah RM72,2000 daripada Amizah Ahmad dan syarikat Intelligent Essence Sdn. Bhd.

Dia ketika itu bertugas sebagai jurutera awam Jabatan Pengurusan Projek KTMB menerima wang berkenaan melalui tujuh transaksi masing-masing berjumlah RM3,000 hingga RM16,000 ke akaun bank CIMB adik iparnya.

Wang itu sebagai dorongan supaya tidak mengesyorkan surat arahan berhenti kerja sementara, ekoran faktor keselamatan bagi projek cadangan tambahan dan pengubahsuaian Stesen LRT Abdullah Hukum sedia ada dan cadangan pembangunan sebuah Stesen KTM Komuter tiga tingkat di atas sebahagian tanah rizab keretapi.

Selain itu, projek lain pula membabitkan cadangan pembangunan mendirikan sebuah Stesen Komuter Bersepadu Kajang 2 serta kemudahan lain antaranya pejabat pengurusan, kiosk jualan tiket, pusat penerangan pelancongan dan jejantas pejalan kaki berbumbung.

Kesalahan itu dilakukan di bank CIMB cawangan Nilai di sini dari 17 Disember 2015 hingga 3 Julai 2017.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan tertuduh dibebaskan dengan ikat Jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam bela, Shahidah Muslimah Roslan merayu ikat jamin dikurangkan kerana tertuduh sudah dibuang kerja dan kini menjual laksa di Setia Alam, Selangor untuk menyara keluarga.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI