fbpx

Pegawai agensi penguatkuasa terima ugutan bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

JOHOR BAHRU – Seorang pegawai agensi penguatkuasa yang menjaga sempadan dan kawasan perairan di Pantai Timur negeri ini menerima ugutan daripada sekumpulan lelaki untuk tidak membuat pemeriksaan ke atas bot yang mendarat di kawasan berkenaan, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, satu laporan polis sudah dibuat dan telah membuka kertas siasatan dan kini sedang menjalankan usaha menjejaki ketiga-tiga suspek berkenaan yang sudah dikenal pasti.

“Kita percaya suspek ini mempunyai kaitan dengan bot-bot yang masuk sama ada membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) atau menyeludup masuk barang terlarang seperti rokok dan minuman keras.

“Sebab itu, mereka berani untuk memberi amaran kepada pegawai penguatkuasa itu supaya tidak mengambil tindakan dan pemeriksaan ke atas bot yang masuk ke kawasan itu serta mengugut mungkin berlaku aksi tembak-menembak, sekiranya tindakan diambil.

“Ini bukan dekat Colombia, negara luar tapi di Johor, Malaysia. Saya tak nak ada elemen penjenayah berani membuat ugutan pada orang awam dan agensi penguatkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Disoal mengenai kebimbangan penduduk khasnya di Sungai Tiram dan Sungai Rengit yang menjadi lorong tikus bagi kegiatan penyeludupan migran, Ayob memberitahu, mereka tidak perlu bimbang sebaliknya segera melaporkan ke balai yang berhampiran.

Katanya, isu penyeludupan migran atau barangan terlarang bukanlah isu baru di kawasan Pantai Timur negeri ini dan pihak polis memerlukan kerjasama penduduk setempat bagi menumpaskan kegiatan jenayah berkenaan.

“Ada juga maklumat mengatakan orang kampung bersengkongkol dengan kegiatan terbabit namun saya yakin mereka sudah sedar. Kebanyakan maklumat yang diberikan amat membantu kejayaan mematahkan kegiatan penyeludupan di kawasan tersebut.

“Orang awam tidak perlu bimbang, sebarang maklumat atau ugutan yang diterima terus laporkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan.

“Kalau orang awam tidak mahu pergi ke balai polis berhampiran, mereka boleh buat aduan atau salur maklumat di Facebook rasmi Polis Johor atau terus hubungi saya,” katanya.- K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI