fbpx

Jurulatih perlu buat aduan rasmi jika gaji tertunggak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sathianathan mahu jurulatih yang berdepan isu tunggakan gaji perlu membuat aduan rasmi kepada PJBM atau FAM.

PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan berharap jurulatih yang mengalami masalah tunggakan gaji bukan hanya lantang bersuara di media sosial tetapi perlu membuat laporan menerusi saluran yang betul.

Sathianathan berkata, kebanyakan jurulatih terbabit masih lagi mengambil sikap acuh tak acuh dan berdiam diri meskipun ada dalam kalangan mereka sudah tidak menerima tunggakan gaji hampir lima bulan.

“Saya ada mendengar cerita daripada rakan-rakan jurulatih bahawa ada beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) mempunyai masalah aliran tunai sehingga menyebabkan gaji mereka tertunggak hingga lima bulan.

“Namun, masa ini pihak PBJM belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai isu terbabit dan saya anggap mereka lebih berminat untuk bercerita di media sosial berbanding ikut saluran yang betul.

“Secara peribadi, saya tidak mahu isu ini berpanjangan dan saya percaya perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin jika mereka membuat aduan rasmi kepada kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Sathianathan menjelaskan, cara untuk membuat laporan dan aduan tidak sukar seperti yang disangka tetapi langkah pertama adalah membuat surat meminta penjelasan ke atas majikan masing-masing.

“Mereka perlu buat surat rasmi untuk meminta penjelasan kepada persatuan dan jika tiada balasan selama dua minggu, mereka boleh lapor kepada PJBM dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya yang juga Ketua Jurulatih Selangor.

Kosmo! semalam melaporkan dakwaan Ketua Jurulatih Kelantan, Yusry Che Lah yang masih belum menerima gaji sejak Mac lalu dan hanya diberikan token sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha, Jumaat lepas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI