fbpx

K2

Sesal tidak mendaftar nikah, cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JANGAN terlalu teruja untuk berkahwin di negara jiran kerana dikhuatiri tertipu dengan sindiket penipuan yang licik. - GAMBAR HIASAN

SUdah terlalu lama hal itu menjadi rahsia. Bukanlah niat wanita itu untuk memendamnya daripada sesiapa, sebaliknya memang selama ini dia langsung tidak menganggapnya penting bagai tidak ada apa-apa yang berlaku.

Rahila (bukan nama sebenar) telah berkahwin dengan seorang lelaki yang dicintainya. Namun, selepas tiga tahun menyulam bahagia, tiba-tiba Tuhan menjentik hatinya untuk tersedar bahawa dia mungkin telah melakukan kesalahan yang besar semasa mengahwini lelaki itu.

“Saya mungkin berstatus isteri orang ketika berkahwin dengan suami saya itu pada tahun 2010. Saya pernah bernikah dengan seorang lelaki lain di selatan Thailand 10 tahun sebelum itu.

“Kami kahwin lari sebab bekas suami saya itu berpoligami. Untuk elak pengetahuan isterinya, kami bernikah di Siam sebelum bercerai setahun kemudian. Tapi pernikahan dan perceraian kami tidak pernah didaftarkan dan sebelum ini saya tidak pernah mengambil tahu adakah sah atau tidak perkahwinan dan perceraian kami itu di sisi undang-undang,” katanya kepada K2 baru-baru ini saat mengimbau kes yang telah difailkannya pada tahun 2013 di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.

 

Gambar menunjukkan kawasan sempadan antara Malaysia dan Thailand. – Gambar hiasan

 

Rahila, 38, berkata, disebabkan tidak tertanggung lagi dihantui rasa bersalah, dia akhirnya berterus terang dengan suami baharunya tentang kisah silamnya.

Cerita pekerja swasta itu, perceraiannya dengan suami terdahulu berlaku begitu sahaja apabila banyak terjadi perbalahan. Bekas suaminya lafazkan cerai dan selepas itu
masing-masing anggap telah berpisah dan tidak bertindak apa-apa.

“Saya dan bekas suami berkahwin, namun tak pernah mendaftarkannya selepas pulang ke Malaysia, begitu juga apabila kami bercerai. Selepas dia lafazkan cerai, kami berpisah begitu sahaja dan membawa haluan masing-masing. Saya kemudian berkahwin dengan seorang lelaki lain dan
tiba-tiba Tuhan menjentik hati saya untuk sedar bahawa status diri saya sebenarnya belum jelas dan rasa takut menyelubungi diri kalau semuanya tidak sah.

“Suami baharu saya terkejut dan kecewa, namun saya tekad untuk mengharungi detik sukar itu demi memperbetulkan kesilapan lalu. Saya telah menerima balasan atas kesalahan yang saya lakukan itu apabila perlu turun naik mahkamah selama lima tahun bagi menyelesaikan satu per satu kes iaitu pengesahan nikah kali pertama diikuti pengesahan perceraian dan pernikahan bersama suami baharu,” ujarnya.

Memfailkan kes-kes di sebuah mahkamah rendah syariah, Rahila berkata, pada awalnya dia berasa begitu sulit untuk kesnya diselesaikan, namun dia bersyukur akhirnya bekas suaminya yang juga warga Malaysia dapat dikesan semula sekali gus memudahkan sedikit urusan perbicaraan kes.

“Berdasarkan bukti-bukti yang ada, mahkamah telah menilai dan mengesahkan nikah kali pertama saya dengan suami terdahulu. Bekas suami kemudian telah memberi keterangan dan mahkamah turut berpuas hati untuk mengesahkan perceraian talak satu telah berlaku.

“Saya berasa lega apabila mahkamah akhirnya mengesahkan pernikahan saya bersama suami baharu.

“Mujurlah saya tidak dikurniakan anak dalam tempoh perkahwinan bersama bekas suami dan suami baharu. Jika tidak, tentu semakin sukar kerana perlu ditentukan kedudukan anak-anak itu sama ada sah taraf atau sebaliknya. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana jika saya ada anak,” ujarnya.

Cerita Rahila, semasa kes tersebut dibicarakan, rumah tangganya teruji bagai retak menanti belah.

Bagaimanapun, selepas suami melihat kesungguhannya untuk membaiki kesilapan, lelaki itu akhirnya terharu dan memberikan sokongan kepada Rahila untuk menyelesaikan kes tersebut sepenuhnya.

Wanita begitu menyesali apa yang telah dilakukannya dan berharap agar orang ramai tidak mengambil mudah hal pendaftaran perkahwinan sekiranya bernikah di luar negara.

“Setiap pernikahan wajib didaftarkan, jangan ambil mudah kerana ia berkait dengan hal-hal seterusnya dalam rumah tangga.

“Saya belajar daripada kesilapan lalu dan telah menebusnya semula. Saya kini berasa bebas daripada cengkaman rasa bersalah. Kini saya bahagia bersama suami saya,” tuturnya.

Nota: Artikel ini ditulis bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya untuk tujuan iktibar dan pengajaran semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI