fbpx

Kelabu kibar potensi besar YonnyBoii

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YONNYBOII dan Azlan The Typewriter.

Saat artikel ini sedang dicatatkan, penulis sedang menikmati secangkir karamel latte. Perlahan-lahan dihirup seraya fon telinga tanpa wayar tersumbat pada telinga mendengar lagu terbaru Taylor Swift berjudul Exile (featuring Bon Iver) yang dimuatkan dalam album terbaharu Taylor, Folklore.

Bukan tentang diskografi terbaru wanita itu ingin dicatatkan kali ini (mungkin belum tiba waktu untuk menulis tentang karya berkenaan). Baru-baru ini, penulis diperkenalkan kepada sebuah karya indah tempatan berjudul Kelabu.

Lagu tersebut kepunyaan Azlan & The Typewriter dan penyanyi dan komposer muda berbakat besar, YonnyBoii.
Pertama kali lagu ciptaan sepenuhnya oleh Yonny itu singgah di halwa telinga, rasa kagum dan tertarik mula terbit untuk penulis menggali lebih dalam, siapakah gerangan anak muda berusia 22 tahun itu.

Perkataan pertama yang terlintas dalam fikiran: “Rasa macam pernah dengar suara budak ini.”

Fikir punya fikir, kebanyakan lagu Yonny, sering didendangkan oleh anak-anak saudara di kampung cuma pada waktu tersebut, kurang diberikan perhatian.

Mula penulis melakukan sedikit carian dalam laman YouTube dan pelantar digital Spotify. Selain Kelabu, Yonny memiliki rantaian lagu bernilai tinggi, seperti Sakit, Tujuan dan Sheenta.

Berbalik tentang Kelabu, secara peribadi, lagu berkenaan mampu terbang tinggi seterusnya mendapat pengiktirafan sewajarnya. Lagu berkenaan antara karya yang layak diberi posisi merebut takhta Anugerah Juara Lagu (AJL). Jika Anugerah Industri Muzik (AIM) masih wujud, Kelabu harus tidak terkecuali masuk ke kategori lagu terbaik.

KELABU disifatkan sebagai antara karya muzik tahun 2020.

 

Kemas

Melodinya indah, senang melekat dalam minda dan susunan muziknya kemas diperkaya dengan dentingan piano dan mainan orkestra yang mahal.

Jarang sebenarnya kita bertemu lagu yang mempunyai kualiti setanding Kelabu pada era sekarang.

Sementara itu, nukilan lirik yang dicernakan oleh Yonny sangat puitis dan mendalam, namun mudah difahami dan berkait dengan setiap pendengar. Isinya berkisar tentang masalah yang sering dipandang enteng dalam masyarakat iaitu buli, depresi dan kebimbangan.

Secara peribadi, lagu berkenaan boleh dianggap sebagai rintihan Yonny tentang tanggapan dan momokan masyarakat yang memberikan kesan mendalam kepada seseorang.

Penulisan liriknya juga membawa mesej bahawa senyuman atau tindakan berdiam diri tidak memberi makna jiwa seseorang itu sedang dipeluk damai.

Menyentuh tentang paduan suara, keampuhan Azlan memang tidak boleh disangkal. Dia sememangnya merupakan antara vokalis terhandal tempatan.

Menerusi Kelabu, pendekatan atau penghayatan lebih bersifat ‘terkawal’ namun sarat dengan rintihan yang signifikan.

Dalam pada itu, Yonny juga tidak kurang hebatnya. Biarpun masih baharu dan ‘hijau’ dalam industri, dia mampu menyeimbangi aura dan pesona vokal yang terhasil daripada Azlan.

Hasilnya, lahirlah paduan vokal yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Secara keseluruhannya, kalau penulis boleh memberi markah mengikut skala peratusan, lagu Kelabu boleh diberikan markah A+ iaitu melebihi 90 peratus.

Melodi, lirik dan paduan vokal antara dua penyanyi, Azlan dan Yonny teradun sempurna. Sungguh, jika Kelabu lolos ke pentas AJL, penulis akan bersorak riuh agar dia menang!

Pesanan buat syarikat rakaman atau pengurusan yang mengendalikan kerjaya Yonny iaitu Indigital Music, didik dan bimbinglah anak muda itu sebaik-baiknya. Potensinya besar. Jika kena gayanya, peluang Yonny untuk disanjung dan jadi rujukan terbentang luas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI