fbpx

Bayi warga Thailand pulang malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURHALIZA tidak sabar untuk bertemu dengan anak keduanya esok.

KUALA LUMPUR – Bayi warga Thailand yang ditinggalkan di Hospital Kajang, dekat sini sejak lima bulan lalu akhirnya akan dibawa bertemu ibunya, Nur­haliza Chek Awae, 18, yang kini berada di Pattani, Thailand, ma­lam ini.

Setiausaha Agong Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Se­latan, Laksamana Muda Som­kiart Polprayoon yang dilaporkan  media Thailand berkata, semua proses pendaftaran kelahiran bayi itu telah dilakukan kelmarin selain pembayaran semua bil juga telah dilunaskan.

Menurut Polprayoon, bayi itu akan dibawa menaiki ambulans yang disewa khas dari Hospital Kajang dekat sini pukul 9 malam ini dan dijangka tiba di sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao Songkla keesokan harinya kira-kira pukul 8 pagi.

Jelasnya, bayi itu kemudian akan menjalani proses kuarantin wajib dalam sebuah bilik khas selama 14 hari bersama dengan ibunya, Nurhaliza di Hospital Patani.

Difahamkan, bil hospital yang perlu dilunaskan adalah seba­nyak RM30,218 meliputi RM4,950 kos bersalin pada Februari lalu dan RM25,268 adalah bil penjaga­an bayi pramatang selama lima bulan dalam jagaan hospital.

Kosmo! pada 24 Julai lalu melaporkan seorang wanita warga Thailand terpaksa menanggung rindu berjauhan dengan bayinya berusia lima bulan di Hospital Kajang selepas terpisah sejak Februari lalu akibat pandemik Covid-19. 

Bayi yang dilahirkan pramatang itu ditinggalkan di hospital berkenaan sementara Nurhaliza dan suaminya, Muhammad Thipyaleh, 27, pulang ke Thailand untuk memperbaharui pasport kerana tamat tempoh pada 18 Mac lalu. 

Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak sempat pulang ke Kajang yang terletak kira-kira 600 kilometer dari kampungnya kerana pintu sempadan ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak Covid-19.

Sementara itu, Nurhaliza menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membawa anak ke­duanya itu kembali ke pangkuan keluarga.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan Thailand yang membantu  membawa pulang anak saya ke Thailand dan semua pihak yang menderma untuk membayar bil hospital.

“Saya amat terharu dan teruja ke­rana akhirnya akan bersua muka dengan anak buat kali pertama selepas terpisah lima bulan, hanya Allah yang dapat membalas budi dan jasa baik kalian,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI