fbpx

Wanita parah ditetak suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi di mana seorang wanita ditetak oleh suaminya di Bahau semalam

NURULAZMA SYAFIQAH KHAIRUL AZHAR

JEMPOL –  Seorang wanita parah selepas ditetak suaminya selepas bertengkar dalam kejadian di sebuah rumah di Ladang St Helier, Bahau dekat sini kira-kira pukul 7.40 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Mohd. Khairiel Mohd. Arif, mangsa berusia 36 tahun yang juga penoreh getah telah cedera di leher dan tangan selepas ditetak menggunakan parang.

Katanya, punca pertengkaran dipercayai selepas mangsa meminta untuk bercerai dengan suaminya itu yang berusia 39 tahun.

“Pada 28 Julai lalu, mangsa dan suspek telah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bahau untuk mendaftarkan perceraian mereka. Selepas balik ke rumah telah berlaku pertengkaran kerana suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang mahu bercerai.

“Keesokkan harinya, suspek telah bertengkar dengan mangsa dan menuduh wanita itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Mangsa menafikan dan suspek terus mengambil sebilah parang pendek yang ada dibelakang rumah dan terus menetak mangsa di bahagian kiri leher,” katanya.

Menurut Mohd. Khairiel lagi, mangsa yang telah berkahwin selama 18 tahun dengan suaminya itu telah ditetak beberapa kali dan menahan tetakan tersebut menggunakan tangan.

Suspek kemudian menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam longkang di belakang rumah.

“Kejadian disaksikan anak ketiga mereka yang berusia 11 tahun yang kemudiannya meminta bantuan jiran. Suspek kemudian memberitahu mangsa mahu ke Balai Polis dan membawa bersama parang yang digunakan tersebut,” katanya.

Tambah Mohd. Khairiel, mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan dan kini berada dalam sedar dan stabil.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan, mangsa mengalami kecederaan luka tetakan di bahagian leher, tangan kanan dan tangan kiri, patah bahagian lengan kanan dan retak pada tangan kiri,” katanya.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI