fbpx
Para ibu bapa berhimpun di People Square, Shanghai, China sambil membawa payung-payung yang mempromosikan anak masing-masing untuk mencari jodoh.

Pasar cari jodoh untuk anak

  • Oleh MOHD SHAZWAN YUSOP
  • 25 Julai 2020, 3:37 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP orang yang berkunjung di pasar perkahwinan di People Square, Shanghai, China pasti akan mengagumi keunikannya. Hal ini disebabkan pasar yang tidak ubah seperti pasar pagi itu menjadi medan orang ramai mencari pasangan.

Malah, saluran berita terkemuka Amerika Syarikat (AS), CNN menggelarkan pasar berkenaan tidak ubah seperti laman web mencari jodoh popular, Match.com.

Pasar perkahwinan itu mula dibuka pada 2004 apabila menjadi tumpuan para ibu bapa berkumpul untuk menari dan beraksi seni mempertahankan diri di sekitar People Square.

Pada masa sama, terdapat segelintir ibu bapa mengambil peluang mempromosi anak teruna dan dara mereka dengan meletakkan poster di papan gabus, payung dan kawasan sekitar.

Situasi tersebut menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai terutamanya pada hujung minggu bagi mencari jodoh anak-anak.

Biasanya, para pengunjung akan berbual antara satu sama lain dan ada segelintir yang berjalan di kawasan sekitar untuk melihat poster sambil membawa pen serta kertas.

Poster-poster iklan memaparkan umur, tinggi, zodiak, berat badan, pekerjaan, pencapaian dan tempat lahir individu yang dipromosikan.

Tempat kelahiran seseorang memainkan peranan penting di China kerana ia menentukan tempat untuk bakal pasangan mendapatkan faedah seperti kesihatan dan hak harta.

“Saya sangat risau mengenai masa depan anak perempuan saya. Usianya sudah menghampiri 26 tahun, namun masih tidak mempunyai teman lelaki.

“Saya betul-betul tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” ujar Tsai baru-baru ini sambil mempamerkan poster biodata dan gambar anaknya pada payung.

 

Biodata anak-anak yang antaranya meliputi tinggi dan zodiak dipamerkan
di pasar itu.

 

Hakikatnya, campur tangan ibu bapa dalam perihal perkahwinan merupakan sebahagian tuntutan budaya masyarakat Cina.

Perkahwinan di China melampaui aspek keserasian, sebaliknya ia juga berfungsi sebagai medium meningkatkan status sosial keluarga.

Para ibu bapa juga menjadikan perkahwinan sebagai salah satu medium menunjukkan kehebatan mereka kepada jiran dan rakan perniagaan mereka.

Seorang pengunjung tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai David berkata, dia berkunjung ke pasar berkenaan untuk mencari calon pasangan terbaik.

“Ini kali pertama saya berkunjung ke sini. Saya rasa ingin tahu mengenai pasar ini,” ujar David yang dibesarkan di Shanghai.

 

 

Menurut kaji selidik yang dilaporkan The Paper, daripada 874 iklan yang dikumpulkan selama tempoh enam minggu di pasar itu, sekitar 70 peratus jantina yang diiklankan adalah perempuan.

Menariknya, laporan berkenaan mendapati calon-calon lelaki secara umumnya lebih berusia berbanding wanita, manakala hanya sembilan peratus iklan menyatakan tentang hobi.

Larangan merokok dan meminum alkohol ialah perkataan yang sering dinyatakan pada iklan wanita.

Ramai menyangka mencari jodoh di pasar perkahwinan sangat mudah, namun laporan Tencent dalam tinjauan yang dilakukan pada 2016 menyatakan perkara sebaliknya.

Kajian itu merumuskan, kepentingan bersama dan rasa kepercayaan tetap menjadi kunci utama dalam memastikan kejayaan pemadanan pasangan setelah mereka berkenalan di pasar perkahwinan.

“Rupa-rupanya pasar perkahwinan tidak memiliki ruang untuk manusia ‘berhubung’ melainkan sekadar mempromosi status dan material,” ujar laporan tersebut.