KUALA LUMPUR – Imej berjambang yang digayakan sebahagian lelaki didakwa mampu menjadi daya penarik sehingga boleh membuatkan wanita terpikat kerana memperlihatkan sisi matang, berkeyakinan, berkarisma serta menunjukkan sifat kebapaan seseorang lelaki.
Jika sebelum ini, imej itu sering dikaitkan dengan golongan alim ulama, namun ia kini dilihat lebih bersifat universal susulan ia digayakan oleh semua golongan lelaki tanpa mengira umur, status dan kerjaya.
Malah, gaya itu kini dianggap sebagai aksesori penting sebagai pelengkap kepada imej seseorang jejaka.
Bentuk potongan jambang juga kini lebih variasi seperti gaya jambang persis watak Tony Stark dalam filem Iron Man, goatee, korporat dan berjambang penuh sehingga mampu mengubah penampilan seseorang lelaki daripada digelar bermuka ‘jambu’ kepada macho.
Bagi seorang pegawai bank, Muhammad Shahmi Mohd. Shahir, 30, yang memilih penampilan berjambang penuh mengakui segelintir wanita tertarik dengan lelaki berjambang kerana dilihat lebih bergaya.
Menurutnya, dia mula menyimpan jambang sejak 2016 selepas melihat ramai golongan lelaki mengenakan gaya tersebut selain ia merupakan sunnah Rasulullah.
“Isteri saya memang suka dengan imej ini, cuma selalu mengingatkan supaya sentiasa menjaga rapi jambang agar kelihatan kemas dan terurus,” katanya.

penampilan matang dan berkarisma.
Muhammad Shahmi yang juga pengasas bersama Hybeard co berkata, bagi memastikan pertumbuhan bulu pada wajah yang cepat, dia mengamalkan gaya hidup sihat dengan memilih makanan berkhasiat selain tidur yang mencukupi.
“Bagi penjagaannya pula, ia tidak mengambil masa lama iaitu sekitar 10 minit sekali seminggu dengan kos kurang RM100 sebulan.
“Setakat ini saya tidak mengalami masalah kulit, malah jambang ini boleh dikatakan sebagai pelindung daripada sinar ultraungu, menutup kedutan dan parut pada wajah,” ujarnya.
Senada dengan Muhammad Shahmi ialah Ameruddin Muhammad, 40, yang turut mengakui bahawa imej berjambang membuatkan dirinya kelihatan maskulin apatah lagi ketika berbusana tradisional Melayu.
“Saya rasa imej berjambang dengan bentuk potongan korporat ini sangat bersesuaian dengan peranan saya sebagai aktivis busana tradisional Melayu dan pesilat.
“Malah, sejak 23 tahun lalu saya tidak pernah mencukur jambang selepas mengikut jejak langkah ayah yang turut berjambang,” ujar bapa kepada dua cahaya mata.
Sementara itu, penyampai radio dan pelakon, Fazlisham Mat Hussin atau lebih dikenali sebagai Issey, 33, menyifatkan imej berjambang mempunyai keunikan tersendiri kepada lelaki yang menggayakannya.
Jelasnya, untuk menyerlahkan personalitinya sebagai seorang anak seni, dia mula menyimpan jambang pada usia 24 tahun kerana percaya jambang mampu menaikkan lagi aura kelakian dalam dirinya.
Selain Issey, trend berjambang turut menarik perhatian beberapa selebriti tempatan antaranya pelakon Aeril Zafrel. Aeril merupakan suami kepada usahawan kosmetik, Wawa Zainal.
Suami Nelydia Senrose, Mohd. Hafez Halimi Abdul Hamid juga merupakan antara lelaki yang berjambang.














