fbpx
Gambar hiasan

Dakwaan warga asing positif Covid-19 di Melaka Sentral palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) hari ini menafikan penularan audio di aplikasi WhatsApp kononnya beberapa warga asing didapati positif Covid-19 di terminal pengangkutan awam, pasar dan bazar Melaka Sentral, di sini semalam.

Pengarah Kesihatan negeri Dr. Ismail Ali berkata, sebaliknya penumpang terlibat merupakan satu keluarga warga tempatan yang pulang dari luar negara pada 23 Julai lalu melalui Pintu Masuk Antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

“Semua ahli keluarga berkenaan juga disahkan negatif ujian Covid-19 semasa menjalani saringan kesihatan di KLIA dan telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketika dalam perjalanan balik ke tempat tinggal bagi menjalani kuarantin di rumah.

“Rakaman suara dan gambar tular di WhatsApp itu diambil secara rambang oleh individu yang tidak dikenali, namun, JKNM ingin menjelaskan bahawa kandungan rakaman suara terbabit tidak benar,” katanya dalam kenyataan di Melaka, hari ini.

Dr Ismail berkata, laporan polis dibuat bagi menyiasat perkara itu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih.

Untuk maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6851 atau e-mel [email protected]

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp mengenai rakaman suara berdurasi satu minit 20 saat dan gambar yang mendakwa terdapat beberapa warga asing positif Covid-19 berada di sekitar Melaka Sentral. – K! ONLINE.

POPULAR