fbpx

Cheng Hoe mahu satu lagi aksi persahabatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE pernah membimbing skuad Kedah pada 2014 hingga 2017.

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap satu lagi aksi persahabatan dapat diatur buat anak-anak buahnya sebelum mengharungi aksi terakhir Kumpulan G sai­ngan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada November depan.

Sebagai rekod, cabaran skuad negara pada pusingan kelayakan ini masih berbaki tiga perlawanan apabila dijadualkan bertemu dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada Oktober sebelum menamatkan kempen dengan menentang Thailand pada November nanti.

Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengatur satu aksi persabahatan antarabangsa menentang Bahrain sebelum pertemuan menentang UAE selain mengesahkan kehadiran Kuwait di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November nanti.

Kata Cheng Hoe, jadual untuk skuad Harimau Malaya untuk Oktober sudah cukup padat dengan pemain dijangka me­laporkan diri pada 24 September tetapi ruang untuk kalendar antarabangsa bulan November masih lagi terbuka.

“Jadual pasukan untuk Oktober tiada masalah. Cuma, saya melihat masih ada ruang kosong pada kalendar antarabangsa November sebelum pasukan bertemu dengan Thailand pada aksi kelayakan terakhir nanti.

“Kita bakal menerima kunjungan Kuwait sebagai aksi pemanas badan tetapi saya harap satu lagi pertemuan dapat diatur bagi memastikan pasukan bersedia sepenuhnya kerana perlawanan Thailand nanti cukup penting dalam misi kita untuk ke pusi­ngan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe bagaimanapun tetap berpuas hati kerana pasukan Bahrain yang menduduki ranking ke-99 dan Kuwait di kedudukan ke-147 memiliki kualiti untuk menguji keupayaan barisan pemain.

“Bahrain merupakan pasukan meningkat naik di Asia Barat serta baru memenangi Piala Negara Teluk tahun lalu dan saingan bertemu mereka penting sebelum kami menentang UAE yang mana pemainnya memiliki persamaan dari segi fizikal.

“Sementara itu, pemain Kuwait pula diketahui terkenal dengan kelebihan fizikal yang saya anggap cabaran pen­ting buat pemain kerana kita akan ber­saing dengan Thailand selepas itu,” katanya.

Skuad negara ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata selepas mengharungi lima perlawanan selepas merekodkan tiga kemenangan, ketinggalan dua mata di belakang Vietnam. – K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI