fbpx

Tujuh termasuk tiga polis didakwa samun kedai pengurup wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tujuh tertuduh termasuk tiga anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen George Town hari ini kerana menyamun sebuah premis pengurup wang.

GEORGE TOWN – Tujuh lelaki termasuk tiga anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan pistol di sebuah premis pengurup wang di sini pada minggu lalu.

Tertuduh ialah anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Batu Gajah, Perak, Nazarudin Abdul Manan, 36, Khairul Hisham Hamzah, 42, dan Wan Abd. Rahim Md. Shariff, 36.

Empat lagi tertuduh ialah Wan Abd. Rahman, 36, iaitu kembar Wan Abd. Rahim, Mohamad Sahar Ismail, 43, serta dua warga Indonesia, Guno Sutowo, 24, dan Iis Sutejo, 29.

Mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah melakukan samun berkumpulan dengan bersenjatakan pistol ke atas M.S.K.M. Mohamed Haniffa Forex Sdn. Bhd. dengan menyamun pelbagai mata wang kertas dan syiling serta sebuah projektor yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM42,700.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No. 59, Jalan Masjid Kapitan Keling di sini pada pukul 9.45 malam, 14 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar, manakala ketiga-tiga anggota polis terbabit dan Wan Abd. Rahman diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin. Tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan keempat-empat mereka diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut diperintah melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan ikat jamin terhadap dua warga Indonesia tersebut yang tidak diwakili peguam berikutan mereka tidak mempunyai dokumen yang lengkap.

Kes akan disebut semula pada 28 Ogos ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI