fbpx

Kumpulan kedua jemaah tabligh rakyat Malaysia tiba dari India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN jemaah tabligh rakyat Malaysia yang terkandas di India selamat tiba di tanah air petang semalam.

Oleh MOHD. HUSNI BIN MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Kumpulan kedua seramai 40 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang terkandas di India selamat tiba di tanah air petang semalam.

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaffar berkata, mereka tiba menerusi pesawat Air India Express kira-kira pukul 2.45 petang sebelum di bawa ke Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi untuk menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

Beliau berkata, ketibaan kumpulan itu adalah kepulangan kumpulan kedua jemaah tabligh selepas 62 jemaah tiba dari India pada 18 Julai lalu.

“Kepulangan kumpulan ini juga membabitkan dua orang jemaah tabligh yang selesai kes perbicaraan di Saharanpur, Uttar Pradesh.

“Sehingga hari ini, masih terdapat 87 jemaah Malaysia berada di India di mana 25 jemaah tabligh di New Delhi dijangka dapat pulang ke tanah air pada 29 Julai ini, manakala seramai 52 jemaah di beberapa wilayah di India (Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu, Maharashtra pula sedang menjalani proses perundangan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, seramai sembilan lagi jemaah tabligh masih berada di Kolkata, West Bengal dan sedang menanti prosedur perundangan seterusnya, manakala seorang jemaah di Amravati, Maharashtra tidak dikenakan apa-apa pertuduhan.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petuga Khas Covid-19 Kementerian Luar Negeri berkata, kementeriannya menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India akan terus memantau secara berterusan perkembangan situasi ini dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Malah, katanya, kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India juga akan dipergiatkan lagi dalam usaha untuk memudahcara kepulangan mereka ke tanah air.

“Kementerian juga ingin merakamkan penghargaan di atas kerjasama pelbagai kementerian dan agensi yang terlibat terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meneraju misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) kali ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan, seramai 136 jemaah tabligh Malaysia terkandas di India selepas menyertai perhimpunan tabligh pada Mac lalu selain ditahan atas tuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI