fbpx

Analogi seram Town Mall

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster filem Town Mall.

PENULIS berpeluang menonton filem terbaharu terbitan Enuja Production dan Astro Shaw berjudul Town Mall baru-baru ini menerusi pratonton secara maya, khas buat pengamal media.

Town Mall yang dibintangi pelakon hebat seperti Datuk Seri Eizlan Yusof, Reen Rahim, Intan Ladyana, Nynaa Harizal, Adam Shahz, Datuk Jalaluddin Hassan, Erry Putra, Hafizuddin Fadzil, Nor Albaniah, Ku Faridah dan Faradhiya ditayangkan menerusi saluran Astro First (480) bermula 25 Jun.

Buat penulis yang sudah lama tidak berkunjung ke pawagam disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, jemputan menyaksikan filem tersebut secara maya menderaskan adrenalin. Masakan tidak, bayangkan lebih tiga bulan terpuruk di rumah, kebosanan sudah tidak terungkap.

Berbalik tentang filem sulung arahan Eizlan, ada beberapa perkara yang menarik perhatian.
Sebenarnya, seperti yang penulis katakan tadi, sudah lama tidak berkunjung ke pawagam. Masa menonton filem banyak dihabiskan dalam ruang digital, Netflix misalnya.

Klise

Town Mall boleh penulis sifatkan sebagai sebuah karya bergenre seram yang tidak mengecewakan baik dari segi naratif, pengarahan, lakonan dan suntingan.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan filem-filem terbitan atau kerjasama Astro Shaw yang terkenal sebagai gergasi produksi filem, Town Mall masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

Naratifnya mudah. Filem seram tersebut bercerita tentang projek pembinaan terbengkalai selama 10 tahun akibat gangguan mahkluk halus.

Sebuah syarikat pembinaan terkenal cuba menyambung semula kerja-kerja dengan harapan bangunan tersebut akan menjadi sebuah pusat beli-belah terkemuka.

Menonton karya berkenaan secara bersendirian hanya bertemankan komputer riba, fon kepala dan sofa di ruang tamu, sukar untuk menidakkan rasa seram yang disulami suasana kelam.
Bukan sahaja kerana jumpscare atau elemen kejutan filem itu, malah kesendirian penulis pada malam berkenaan turut menyumbang rasa debar.

Seperkara lagi, hantu Melayu yang dipersembahkan kelihatan lebih nyata berbanding hantu orang putih atau karya dari Hollywood.

Dari segi penceritaan, tidak banyak yang boleh digembar-gemburkan. Town Mall merupakan satu lagi filem tempatan yang memiliki jalan cerita klise.

Tidak banyak juga jalan cerita dikembangkan atau mungkin garapannya agak terikat disebabkan proses adaptasi daripada novel seram popular dengan judul sama nukilan Hasrudi Jawawi.

Dari segi kualiti lakonan, pujian wajar diberikan kepada pelakon utama iaitu Eizlan yang turut menggalas tugas sebagai pengarah filem. Buat seseorang yang baru pertama kali duduk di bangku pengarah, Town Mall masih percubaan yang boleh dibanggakan.

Dalam pada itu, lakonan Reen Rahim sebagai si hantu bernama Akma juga tidak kurang hebatnya sementelah Intan Ladyana sebagai Maria (isteri kepada Rusdi) tidak mengecewakan.

Cuma sebagai pemerhati seni, sekali gus penonton, semahunya filem Melayu sembarang genre sekalipun, berhentilah bersifat terlalu draggy (meleret) yang membikin mood penonton terbantut untuk meneruskan tontonan.

Seperkara lagi, cubalah sesuatu yang baharu yang boleh memecah paradigma pemikiran agar filem tempatan terus mendapat tempat bukan sahaja dalam mahupun luar negara.

Alasannya, lihatlah monopoli karya-karya hebat menerusi platform penstriman seperti Netflix ketika ini.

Untuk info, Town Mall ditayangkan terus ke pawagam rumah, Astro First saluran 480 bermula 25 Jun 2020. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton karya berkenaan selama 48 jam secara berulang-ulang.

Layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw untuk maklumat lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI