PENGALAMAN melihat makhluk halus bukanlah satu perkara menggembirakan bagi sesiapa yang pernah mengalaminya.
Ia bukan sahaja menjadi satu memori yang sukar dilupakan, malah akan menghantui mereka sepanjang kehidupan.
Perkara itulah yang dirasai oleh Saiful (bukan nama sebenar) apabila dia sendiri mengakui sukar melupakan pengalaman terserempak dengan lembaga hitam menyeramkan suatu ketika dulu.
Saiful yang kini sudah berumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 12 tahun lalu.
Ketika itu, dia menetap di sebuah rumah sewa bersama rakan-rakannya di satu kawasan perumahan di Seremban, Negeri Sembilan.
“Pada masa itu, saya mengikut rakan sekampung bekerja di sebuah kilang elektronik di Seremban selepas tamat tingkatan lima kerana ingin mencari duit poket.
“Disebabkan saya baru bekerja, maka saya dipelawa oleh rakan untuk tinggal bersamanya di sebuah rumah sewa yang terletak tidak jauh dari kawasan kilang.
“Di rumah tersebut, saya tinggal bersama lima lagi rakan yang turut bekerja di kilang sama, termasuk rakan sekampung saya itu,” katanya yang kini berusia 30 tahun.
Cerita Saiful, kejadian seram yang dialaminya itu berlaku ketika dia baru seminggu tinggal di rumah berkenaan.
Katanya, dia yang tinggal di sebuah bilik di bahagian belakang bersama seorang lagi rakannya sering berasa sukar untuk tidur.
Ini kerana, dia selalu diganggu oleh tangisan bayi yang datang dari rumah jirannya terutama pada waktu malam.
Bagaimanapun, rakan sebiliknya memberitahu, perkara itu sudah biasa berlaku sejak sebulan lalu selepas jirannya bersalin.
Jelas Saiful lagi, disebabkan tidak mahu memanjangkan cerita, dia hanya memekakkan telinga dan cuba untuk melelapkan matanya.
Jelasnya, kejadian aneh berlaku pada malam ketujuh dia tinggal di rumah sewa itu apabila terdengar bunyi seakan-akan benda berat jatuh di atas bumbung rumah jirannya.
“Ketika itu, rakan sebilik saya bekerja syif malam. Jadi, saya tinggal berseorangan di dalam bilik.
“Sebaik mendengar bunyi yang agak kuat, saya cuba menyelak langsir untuk melihat apa yang berlaku.
“Di sebalik celahan tingkap bilik, saya dapat lihat dengan jelas satu lembaga hitam berbulu sedang bertenggek di atas bumbung rumah jiran sambil lidahnya terjelir ke
bawah.
“Terkejut dengan apa yang dilihat, saya terus menutup langsir dan menarik selimut menutup seluruh tubuh sambil membacakan beberapa surah al-Quran disebabkan ketakutan,” katanya.
Kata Saiful, pada masa sama, dia masih dapat mendengar dengan jelas tangisan bayi jirannya yang terus-menerus menangis seperti malam-malam sebelumnya.
Pada keesokan harinya, Saiful mengalami demam dan terpaksa mengambil cuti rehat walaupun baru seminggu memulakan kerja di kilang tersebut.
“Sejak kejadian itu, saya tidak berani lagi untuk menjenguk ke luar tingkap setiap kali bayi jiran menangis pada waktu malam.
“Ini kerana saya bimbang akan ternampak lagi lembaga hitam tersebut.
“Kejadian itu juga tidak pernah saya ceritakan kepada rakan serumah yang lain kerana tidak mahu mereka berasa ketakutan,” ujarnya.
Jelas Saiful, selepas berkahwin dan dikurniakan cahaya mata, dia pasti akan teringat akan pengalaman menyeramkan itu terutama apabila bayinya menangis pada waktu malam.
Berpegang kepada pesan seorang ustaz, dia akan mengalunkan bacaan surah-surah al-Quran jika bayinya menangis pada waktu malam bagi mengelak terkena gangguan makhluk halus.
Malah, dia yang kini sedang menunggu kelahiran anak kedua sudah berjumpa seorang ustaz untuk memasang ‘pendinding’ di rumahnya.
Jelasnya, ia sebagai persediaan untuk mengelak bayi yang bakal dilahirkan nanti tidak diganggu oleh ‘tetamu’ menyeramkan.














