fbpx

LPT2 jadi ‘litar’ lumba haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKTIVITI merempit atau berlumba haram dalam kalangan remaja boleh mengundang pelbagai masalah sosial seperti jenayah samun dan kecurian motosikal. – Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Kegilaan lumba haram dalam ka­langan remaja di negeri ini kembali menjadi-jadi dan tidak terkawal sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan beberapa minggu lalu.

Lebih membimbangkan apabila golongan digelar mat rempit ini telah menjadikan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sebagai litar haram untuk menunjukkan aksi masing-masing.

Masalah rempit sering dikaitkan dengan aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya dan telah menjadi trend dalam ka­langan golongan muda sejak sekian lama.

Ketua Polis Terengganu, Da­tuk Roslee Chik berkata, pihaknya mendapati berlaku peningkatan kes berkaitan aktiviti merempit sejak kelonggaran diberikan kerajaan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.

“Saya tidak tolak kemungkinan golongan mat rempit ini mungkin mahu melepaskan ‘gian’ selepas hampir tiga bulan ‘terkurung’ di rumah kerana PKP.

“Kita memandang serius me­ngenai peningkatan aktiviti me­rempit ini kerana bukan sahaja membahayakan keselamatan orang awam di jalan raya malah boleh menimbulkan pelbagai masalah sosial dan jenayah lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini.

Untuk rekod, budaya merempit yang pernah memberi imej buruk kepada Terengganu berjaya dikurangkan sehingga 95 peratus berikutan strategi jitu dan berterusan oleh kerajaan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara tahun 2015 hingga 2018.

Roslee berkata, seramai 62 individu berusia lingkungan 16 hingga 32 tahun telah ditahan di seluruh negeri sepanjang tempoh PKP setakat 23 Jun lalu.

Katanya, berdasarkan pemantauan, LPT2 dikenal pasti menjadi antara lokasi kegemaran kumpulan mat rempit untuk mempamerkan aksi selain me­nguji kemampuan motosikal ma­sing-masing.

“Apa yang kita bimbangkan apabila ramai mat rempit yang ditahan adalah positif dadah.

“Kita juga tidak tolak kemungkinan aktiviti merempit ini turut menyebabkan berlakunya pe­ningkatan kes seperti kecurian motosikal,” katanya.

LPT2 sepanjang 185 kilometer bermula dari Jabur, Terengganu dan berakhir di Gemuruh, di bahagian utara Kuala Terengganu. Ia merupakan lebuh raya bertaraf tinggi dengan empat lorong dua hala dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti 10 persimpangan bertingkat.

Dalam pada itu, Roslee memaklumkan pihaknya telah me­ngarahkan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri agar mengerakkan Unit Risikan Operasi yang juga dikenali sebagai Skuad 42 bagi mengetatkan lagi pemantauan aktiviti merempit.

Ujar beliau, pemantauan tersebut bukan sahaja melibatkan LPT2 malah jalan-jalan ne­geri terutama Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.

“Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga mat rempit dalam kalangan bawah umur seperti yang termaktub dalam undang-undang,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI