Kes-kes kematian di air dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini meningkat mendadak. – Gambar hiasan

Angka korban air membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jumlah korban akibat lemas dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 103 kes kematian direkodkan daripada 138 kejadian di seluruh negara.

Lebih mengejutkan jumlah kematian itu merupakan dua kali ganda lebih tinggi berbanding kes kematian akibat kebakaran.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, rekod kematian akibat lemas dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini sangat membimbangkan.

Katanya, keadaan itu menunjukkan bahawa kawasan air lebih berbahaya berbanding ancaman api kebakaran dan sewajarnya orang ramai lebih berhati-hati jika berada di kawasan air.

“Jika kita bandingkan kedua-dua kes setakat bulan Jun 2020, kes kematian akibat lemas di air mencatatkan angka yang lebih tinggi berbanding kematian akibat kebakaran walaupun bilangan kes lemas jauh lebih rendah.

“Setakat Jun tahun ini, statistik JBPM menunjukkan bahawa 70 kes kematian dan 219 kecede­raan direkodkan daripada 24,894 kes kebakaran, manakala kes lemas pula hanya merekodkan 138 kejadian, namun jumlah yang mati sangat tinggi iaitu 103 kes,” katanya kepada Kosmo!.

KES kematian akibat lemas menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
– gambar hiasan

 

Mati lemas dikategorikan sebagai seseorang yang meninggal dunia kerana tidak dapat bernafas sama ada akibat tenggelam dalam air atau dihanyutkan arus.

Mohammad Hamdan berkata, statistik terbaharu itu membangkitkan kebimbangan kerana ang­ka tersebut dijangka meningkat menjelang hujung tahun ini.

Katanya, paling menyedihkan apabila sebilangan yang mati lemas itu terdiri daripada golongan muda terutama pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Semakan mendapati golongan muda berusia 35 tahun ke bawah dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada pening­katan kes lemas di air pada setiap tahun.

“Pada tahun lalu, sebanyak 59 kes kematian akibat lemas di air melibatkan mangsa berusia 7 hingga 19 tahun, manakala 71 lagi kes kematian melibatkan mangsa berusia 20 hingga 39 tahun.

“Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, seramai 35 mang­sa yang mati berusia 7 hingga 19 tahun dan 39 mangsa lagi berusia 20 hingga 39 tahun,” katanya.

Katanya lagi, bagi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya kawasan air, pihak bomba kini aktif me­ngadakan kempen-kempen di lokasi panas yang dikenal pasti.

“Sebelum cuti sekolah terutama pada hujung minggu, anggota bertugas akan digerakkan ke sekolah-sekolah untuk mengadakan kempen kesedaran.

“Bagi tahun 2020, sebanyak sembilan kawasan di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai lokasi panas berlakunya kekerapan kes lemas dalam tempoh tiga tahun berturut-turut,” katanya.

Tambahnya, selain berkempen, JBPM turut mengambil inisiatif melantik Pasukan Bomba Bantuan dalam kalangan penduduk termasuk nelayan untuk tempoh-tempoh tertentu seperti pada musim tengkujuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN