fbpx

K2

Layar bahagia mempelai maya PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI JASLIN hanya mampu merakam momen indah majlis akad nikah secara online bersama ayah dan ibu serta keluarga mertua menerusi kaca televisyen sewaktu PKP.
AMEER ASHRAF dan isterinya, Siti Jaslin kini bahagia selepas diijabkabulkan secara online pada April lepas.

SITI JASLIN JOHARI, 25, duduk bersimpuh di depan komputer peribadi di ruang tamu rumahnya sambil ditemani beberapa ahli keluarga lain. Biarpun gadis bertubuh kecil molek itu kelihatan sangat tenang, namun debaran di hati hanya Allah sahaja yang tahu.

Tatkala perkataan sah kedengaran menerusi pembesar suara komputer tersebut, air mata kesyukuran mengalir perlahan daripada kelopak matanya.

Sambil tersenyum, Siti Jaslin yang hanya dapat menatap suaminya di skrin komputer dihujani ucapan tahniah dan selamat pengantin baharu yang tidak putus-putus daripada ahli keluarganya.

Ternyata, impian Siti Jaslin dan suami, Muhammad Ameer Ashraf Norhisham, 25, untuk mendirikan rumah tangga sejak tujuh tahun lalu tercapai apabila kedua-dua mereka selamat diijabkabulkan pada 22 April lalu.

Biarpun ijab dan kabul dilakukan tanpa berjabat tangan, selain tiada upacara pembatalan air sembahyang antara dua mempelai seperti kebiasaan, namun Siti Jaslin dan Ameer Ashraf tetap bersyukur kerana mereka menjadi sebahagian daripada sejarah negara apabila berpeluang merasai pengalaman bernikah secara online pada norma baharu.

Pernikahan secara online mula diperkenalkan di negara ini pada pertengahan April lalu sewaktu negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan rakyat di negara ini.

Sewaktu tempoh itu, masyarakat dilarang bersentuhan sehingga norma penjarakan sosial terpaksa dilakukan dalam banyak aspek kehidupan.

Di Malaysia, upacara akad nikah pertama secara online dilaksanakan pada 18 April lalu melibatkan pasangan Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29, di Setapak, Kuala Lumpur. Majlis turut disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pernikahan secara dalam talian ini bagaimanapun sudah ditamatkan pelaksanaannya seiring PKP beralih ke fasa berikutnya.
Selain Malaysia, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) turut mengizinkan pernikahan secara dalam talian bagi rakyatnya sebagai inisiatif mengelakkan penularan wabak yang membawa maut berasal dari Wuhan, China.

“Ini merupakan kenangan terindah buat kami dan akan dikenang sehingga ke akhir hayat. Sepatutnya, tarikh pernikahan kami jatuh pada 4 April 2020. Bagaimanapun, disebabkan situasi yang melanda dunia pada waktu ini, ia terpaksa ditangguhkan sehingga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memperkenalkan nikah online.

“Walaupun terpaksa tempuh pelbagai cabaran, namun situasi ini jelas menunjukkan Islam itu mudah dan kami berterima kasih kepada kerajaan yang membenarkan pernikahan secara dalam talian dilaksanakan,” jelas Siti Jaslin mengimbau kembali momen-momen yang berlaku dua bulan lalu.

Semasa pernikahan berlangsung, Siti Jaslin berada bersama keluarganya di Seri Kembangan, Selangor, manakala suaminya pula di rumahnya di Rawang sementelahan pada masa itu larangan rentas daerah dikuatkuasakan.

Video tiga hala

Menceritakan lebih lanjut mengenai detik-detik bersejarah itu, menurut Siti Jaslin yang juga pelajar jurusan Pengurusan Pemasaran daripada Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor ini, proses permohonan pernikahan secara dalam talian mudah dan hanya mengambil masa singkat.

“Sejak PKP fasa satu lagi kami sudah dimaklumkan pernikahan yang telah dirancang terpaksa ditunda.

“Bagaimanapun sebaik mendengar kebenaran pernikahan secara online, saya terus menghubungi pegawai di JAIS sebelum diarahkan pergi ke pejabat di Shah Alam untuk urusan dokumentasi dan penetapan tarikh nikah yang baharu.

“Keesokannya iaitu pada 22 April, kami selamat dinikahkan pada waktu yang ditetapkan oleh pihak JAIS,” jelasnya.

Menurutnya, selain perlu mempunyai capaian internet yang baik, antara syarat yang wajib diikuti sewaktu majlis pernikahan online adalah mempunyai video tiga atau empat hala iaitu di pihak pengantin perempuan, pengantin lelaki, pegawai JAIS dan wali.

“Di pihak saya, hanya ayah sebagai wali dan dua orang saksi sahaja yang dibenarkan berada di depan kamera, manakala di pihak lelaki pula hanya pengantin itu sendiri.

“Secara keseluruhan, tempoh ijab dan kabul hanya mengambil masa kurang 30 minit. Biarpun begitu, akad perlu dilakukan sebanyak dua kali untuk tujuan pengesahan,” jelasnya.

Menurut anak sulung daripada lapan adik-beradik itu lagi, biarpun dilakukan secara dalam talian, namun pernikahan mereka turut mempunyai bacaan taklik sama seperti pengantin-pengantin biasa lain.

Kini, pasangan ini bahagia melayari bahtera rumah tangga seperti pasangan-pasangan lain.

Kerugian kecil

Pasangan pengantin baharu, Siti Sarah Amiza Md. Amin, 27, dan Muhammad Hazriq Muizudin Mohd. Asri, 24, pula menzahirkan keterujaan mereka dan rasa bertuah kerana berpeluang merasai pernikahan pada norma baharu.

VIDEO tiga hala iaitu kadi, pengantin perempuan bersama wali dan pengantin lelaki antara syarat untuk nikah online.

Tanggal 29 April lalu iaitu ketika PKP fasa keempat dilaksanakan, pasangan ini selamat menukar status mereka kepada pasangan suami isteri yang sah dalam sebuah majlis serba ringkas yang berlangsung di kediaman keluarga pengantin perempuan di Serdang, Selangor.

Biarpun tanpa sebarang jemputan, namun pasangan ini menggunakan kemudahan teknologi terkini seperti Facebook Live untuk berkongsi kegembiraan tersebut bersama sanak-saudara dan sahabat handai.

Bercerita lebih lanjut menurut wanita berkulit cerah ini lagi, dia dan suami mengambil keputusan untuk meneruskan pernikahan tersebut biarpun dalam talian kerana mahu menjimatkan kos sara hidup dan perbelajaan harian memandangkan status Hazriq yang merupakan seorang anak perantauan.

“Tarikh pernikahan asal kami adalah pada 10 April.

“Keluarga menyifatkan pernikahan ini sebagai luar biasa dan jarang berlaku kerana kebetulan tarikh itu jatuh pada bulan Ramadan. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan pernikahan dan semua urusan dipermudahkan,” jelasnya.

Akui Siti Sarah, hampir semua persiapan sudah dilakukan, namun pegawai veterinar ini menjelaskan, dia hanya menanggung kerugian kecil iaitu kira-kira RM1,000 sahaja.

“Kerugian yang dialami tidak banyak kerana pada waktu itu bayaran yang kami telah buat hanyalah deposit pelamin, dulang hantaran, tukang inai dan jurusolek sahaja.

“Persiapan untuk majlis resepsi yang sepatutnya berlangsung pada awal Julai ini pula masih 25 peratus. Kesemua pihak yang terlibat juga telah dihubungi dan dimaklumkan mengenai penundaan tersebut sehingga ke suatu tarikh yang diberitahu kemudian,” jelasnya.

Dalam pada itu, ibu salah seorang pengantin online, Azizah Zainal Abidin, 58, menyifatkan pernikahan norma baharu itu sebagai suatu perkara yang ringkas dan mempermudahkan urusan bakal pengantin.

“Perasaan pada waktu itu bercampur-baur. Sebagai ibu, pastinya saya gembira kerana sekurang-kurangnya anak saya selamat dinikahkan.

“Pada masa sama, rasa sedih tetap ada kerana sewaktu majlis berlangsung, hanya keluarga yang menyaksikan detik-detik bersejarah itu,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurutnya lagi, bagi memeriahkan suasana pernikahan anaknya itu, mereka sekeluarga bersepakat untuk mengenakan busana sedondon seperti yang telah dirancang sejak awal lagi.

“Bagi saya, tiada salahnya jika nikah secara online ini diteruskan jika Covid-19 masih menular.

“Sekiranya kes Covid-19 masih tidak reda, tidak salah ia dilakukan seperti dahulu.

“Asalkan semua pihak patuh pada prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI